Friday, 16 February 2024

KOH STEVEN ISLAMKAN 63,000 ORANG

 
Koh Steven atau Steven Indra Wibowo ketika usia remaja amat bencikan Islam. Beliau pernah letakkan tulang babi dalam makanan pembantunya yang beragama Islam.
 
Namun segala-galanya berubah setelah terbaca Ihya Ulumuddin, kitab karangan Imam al-Ghazali. Hatinya mula berubah. Perasaan benci bertukar kepada ingin mengetahui lebih lanjut tentang Islam. Beliau menyedari tentang kebaikan ajaran Islam.
 
Setelah yakin dengan kebenaran ajaran Islam, Koh Steven memeluk agama Islam pada usia 19 tahun. Pengislamannya mendatangkan kemarahan ayahnya, seorang pemimpin Persekutuan Gereja-Gereja Indonesia (PGI).
 
Akibat terlalu marah, ayahnya memukulnya sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum menghalaunya keluar dari rumah.
 
Sebelum dihalau, beliau dipaksa menandatangani dokumen pelepasan hak mewarisi harta keluarganya.
 
Beliau terpaksa hidup berdikari ketika masih usia muda. Pada awalnya, kehidupan Koh Steven agak sukar, namun ia tidak sekali-kali melemahkan semangatnya untuk mendalami ajaran Islam dan menjadi penganut yang baik.
 
Berkat doa dan kegigihannya, Koh Steven menjadi pendakwah dan ahli perniagaan yang berjaya. Beliau menjadi pengasas Mualaf Center Indonesia (MCI). Melalui gerakan dakwah yang tersusun, sekurang-kurangnya 63,000 orang telah memeluk Islam sepanjang usaha dakwahnya.
 
Beliau juga telah membuka kafe yang berkonsep “makan dan minum sepuasnya, bayar seikhlasnya”. Kafe itu amat berjaya sehingga berkembang pesat dengan banyak cawangan.
 
Koh Steven menjadikan kafenya itu sebagai markas dakwahnya. Di mana sahaja tempat yang bermasalah akidah, di situ beliau akan buka kafe barunya.
 
Ketika seluruh dunia dilanda Covid 10, termasuk di Indonesia, Koh Steven menjadi dermawan paling tegar. Beliau sanggup menjual hampir seluruh hartanya seperti dua buah umah, tujuh buah kereta dan tiga motosikal besar semata-mata untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa Covid 19.
 
Wang hasil jualan hartanya itu digunakan untuk membeli 43 ribu pasang sarung tangan bedah, 150 ribu pelitup separuh muka, 80 ribu hand sanitizer dan 48 ribu baju pakaian pelindung diri (PPE). Barang-barang itu kemudin diagihkan kepada lebih 5,000 hospital dan pusat kesihatan seluruh Indonesia.
 
Selain digunakan untuk membeli peralatan kesihatan, ia juga ditunakan untuk membeli makanan untuk diagihkan kepada orang ramai.
 
Koh Steven yakin bahawa pandemik Covid-19 ini merupakan petunjuk untuk dirinya mengembalikan rezeki yang diperoleh kepada jalan yang baik. Dia yakin apa yang dibelanjakan itu akan mendapat balasan baik sama ada digantikan kembali di dunia ini, mahupun balasan kebaikan di akhirat.
 
Ketika beliau terus bersemangat dan merancanakan sesuatu yang lebih baik, Allah SWT telah menjemputnya kembali ke alam abadi pada hari Jumaat 14 Oktober 2022 ketika berusia 41 tahun. Ketika itu beliau berada di Surabaya untuk kegiatan Hijrah Fest.
 
Koh Steven meninggal dunia setelah selesai menunaikan sembahyang Isyak. Menurut temannya (Antoni), selesai sembahyang Isyak, Koh Steven sempat memberitahu keadaannya tidak baik dan terus rebah di pangkuannya dan kemudian disahkan meninggal dunia.
 
Beliau yang berasal dari Yogyakarta dikebumikan di Firdaus Memorial Park, Kota Bandung.

No comments:

Post a Comment