Apabila
disebut ikan budu, tentu banyak orang menyangka itu menu ikan yang dicampur
dengan budu. Apatah lagi, ikan budu terkenal di Kelantan, yang juga negeri yang
tidak dapat dipisahkan dengan budu.
Sangkaan
itu tidak tepat. Budu yang memang terkenal di Kelantan sebenarnya tidak menjadi
bahan dalam menu ikan budu. Tidak ada budu digunakan dalam proses menyediakan
ikan budu.
Dinamakan
ikan budu kerana proses penghasilan ikan budu hampir sama dengan proses membuat
budu. Bezanya, ikan budu kekal dalam bentuk ikan sedangkan budu menjadi dalam
bentuk cecair.
Cara
pemprosesan ikan budu melalui kaedah sama memproses budu iaitu perlu diperam
selama lima hingga enam bulan.
Ikan
perlu dibersihkan sebelum dimasukkan ke dalam tong yang berisi garam kasar dan
asam keping secara berlapis-lapis.
Garam
itu kemudian ditabur ke atas ikan sehingga tertimbus dan dibiarkan di dalam
bekas tertutup selama lima hingga enam bulan. Ikan budu diperam lama
menghasilkan aroma yang sedap apabila digoreng.
Bagaimanpun,
sekarang ini pembuat ikan budu ada yang memasarnya setelah dua minggu sehingga
sebulan diperam. Jika itu, ia sebenarnya tidak menepati maksud ikan budu sebenar.
Jenis
ikan yang biasa digunakan ialah ikan selar, cencaru, kembung dan ikan aya.
Ketika
proses peram tersebut perlu dipastikan penutup bekas berisi ikan itu rapat bagi
mengelakkan dihinggapi lalat kerana boleh menyebabkan ikan berulat.
Sebenarnya
penghasilan ikan budu dilakukan oleh orang dahulu sebagai persediaan untuk
menghadapi musim banjir. Ketika musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke
laut.
Jadi,
dengan adanya ikan budu yang boleh disimpan lama, ia dapat dimakan apabila
sukar untuk mendapatkan ikan segar.
Konsep
penyediaan ikan budu sebenarnya tidak banyak beza dengan ikan perkasam yang
terkenal di Negeri Utara, seperti Kedah dan Perlis. Mungkin sedikit berbeza
kerana ikan pekasam turut dicampur dengan sedikit beras goreng yang ditumbuk.
Ikan
pekasam biasanya menggunakan ikan air tawar, biarpun ikan air masin juga ada
digunakan. Ikan air tawar yang biasa dijadikan pekasam ialah ikan sepat, ikan
puyu dan ikan lapam jawa.
Satu
perkara lagi, ikan budu tidak sama dengan ikan bekok dan ikan kering biarpun kedua-dua
jenis ikan itu juga diawet. Proses menghasilkan ikan bekok hanya mengambil masa
beberapa hari dan ikan kering pula bergantung berapa lama ia boleh kering.
No comments:
Post a Comment