Gantang merupakan alat sukatan dan
pertukaran yang dijadikan sebagai alat penyukat rasmi pada masa dahulu. Ia
digunakan oleh pedagang-pedagang Arab untuk menjalankan urus niaga aktiviti
jual beli beras di Tanah Melayu termasuklah di desa. Sukatan lain selain
gantang ialah leng dan cupak.
Penggunan gantang adalah bukti pengaruh
Islam di dalam kehidupan masyarakat Melayu. Ia bukan sahaja digunakan sebagai
sukatan, bahkan diterima dalam budaya dan amalan hidup masyarakat apabila
perkataan “gantang” digunakan di dalam peribahasa Melayu seperti peribahasa melukut
di tepi gantang, menggantang anak ayam, penuh sudah bagi menggantang, mengisi gantang
pesuk dan secupak tidak akan menjadi segantang.
Lazimnya, gantang diperbuat daripada kayu
seperti mana cupak yang biasanya diperbuat daripada tempurung kelapa yang
besar. Bagaimanapun, penggunaan gantang ini dikatakan telah digunakan secara
meluas oleh masyarakat terdahulu bahkan sehingga kini.
Bagaimanapun, sistem timbang dan sukat
melalui ukuran gantang telah berubah sejak negara memperkenalkan sistem metrik
pada tahun 1972 di mana ia diguna pakai oleh masyarakat Islam sebagai rujukan
untuk membayar zakat dan fidyah berdasarkan nilai semasa dalam unit kilogram
(kg) beras yang dijual.
Pada era masa kini, gantang tidak lagi
digunakan untuk aktiviti perdagangan kerana nilai unit metriknya sudah berubah
dan tidak mengalami keseragaman. Justeru, gantang tidak sesuai digunakan untuk
berniaga kerana ketidakseragaman nilai dan berlakunya perubahan kepada cara
hidup masyarakat.
Namun begitu, ia masih digunakan di negara
sebagai pembayaran fidyah di mana Malaysia mempunyai dua gantang yang diiktiraf
dan disahkan oleh Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan (MSPK) dan SIRIM.
Gantang tersebut adalah milik Majlis Agama
Islam Kelantan (MAIK) dan Majlis Agama Islam Terengganu MAIT). Secara asasnya,
anggaran sukatan satu gantang jika ditukar ke unit metrik adalah bersamaan 3.6
kilogram.
Penggunaan gantang dalam kalangan
masyarakat dahulu amat penting dan bermanfaat malah kehidupan mereka sangat
harmoni, tidak bergaduh walaupun nilai gantang tersebut tidak sama.
Cara hidup masyarakat dahulu menggunakan
sistem sara diri, apa yang diperlukan dan berapa banyak yang hendak kita tukar.
Namun pertukaran tersebut mestilah berdasarkan persetujuan bersama.
Jadi, ukuran gantang yang digunakan pada masa
dahulu dalam masyarakat Melayu adalah tidak sama. Pun begitu, penjual dan pembeli
boleh menerima ketidakseragaman itu kerana mereka boleh meihat dengan jelas
ukuran gantang yang digunakan itu.
Jadi, sebarang bentuk perbezaan harga atau
pertukaran barang adalah dilihat dan diketahui secara fizikal. Tidak wujud unsur
penipuan atau manupulasi kandungan yang disukat.
Gambar (dari kiri) – Leng, cupak dan gantang
No comments:
Post a Comment