Ketika
sekolah lain meraikan kejayaan puluhan pelajar meraih 8A dan kalau setakat 2A,
tiada apa yang hendak dibanggakan, namun lain dengan pentadbir Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, Gua Musang, berapa A pun yang diperoleh
pelajarnya tetap diraikan.
Pelajar
SMK Panggung Jaya majoriti adalah anak Orang Asli dan sebahagian pelajar Melayu
yang tinggal berhampiran sekolah tersebut.
Sekolah
tersebut mula dibuka pada 21 Januari 2021 dan dirasmikan Menteri Pendidikan,
Fadlina Sidek dalam satu majlis pada 23 April 2024 sempena Jelajah Pendidikan
Madani lawatan Menteri Pendidikan Malaysia ke Kelantan.
Pembinaan sekolah ini bermula pada Oktober 2016 dan siap 2020, terletak di
laluan utama Gua Musang – Lojing di Kampung Panggung Lalat, Mukim Batu Papan,
daerah Galas, berhampiran Kampung Kuala Betis.
Kedudukan SMK Panggung Jaya adalah yang paling jauh dari Kota Bharu
berbanding sekolah-sekolah lain. Sekolah rendah paling jauh pula adalah SK Pos
Brooke yang terletak di Lojing.
Sekolah yang mempunyak 24 bilik darjah in mampu memuatkan sehingga 700
pelajar dan kemudahan 400 pelajar di asrama, asalnya dibina atas nama Sekolah
Menengah Kebangsaan Kuala Betis, kemudiannya ditukar nama secara rasmi kepada
SMK Panggung Jaya.
Nama ‘Panggung Jaya’ adalah dari nama Kampung Panggung Lalat yang hanya
mengambil perkataan ‘panggung’ dan ditambah perkataan ‘jaya’ yang menjadikan
nama ‘panggung jaya’.
Pembinaan sekolah yang menelan kos sehingga RM50 juta dapat menyelesaikan
masalah penempatan pelajar Orang Asli dari kampung pedalaman. Sekolah
"moden" itu setaraf dengan sekolah-sekolah yang baharu dibina di
tempat-tempat lain.
Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan
kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK
Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku
dan SMK Chiku 2.
Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah langkah penyelesaian kerajaan dalam
memastikan anak-anak Orang Asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran
tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga.
Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Simpor, Belatim,
Bihai, Gob, Brooke, Hendrop, Pasik, Pulat, Hau, Blau dan Kuala Betis.
Kewujudan SMK Panggung Jaya mampu mengelakkan masalah pelajar kaum
berkenaan tercicir pelajaran.
Justeru, jika ada kejayaan biarpun nampak kecil pada orang lain, itu
adalah sebesar-besar kejayaan yang diraikan seluruh warga sekolah.
Pengetua
SMK Panggung Jaya, Mohd Khairul Bahri bin Ismail, pentadbir sekolah dan
guru-guru tidak pernah patah semangat untuk berusaha mencipta kejayaan untuk
pelajar biarpun bukan calang-calang cabaran yang perlu dihadapi.



No comments:
Post a Comment