Saturday, 28 June 2025

IKAN KELI AFRIKA DILARANG DILEPASKAN DI PERAIRAN UMUM

 
Pelepasan ikan keli afrika sering dilakukan penganjur pertandingan memancing. Ikan keli afrika dipilih kerana mudah diperoleh daripada penternak dan harganya relatif lebih murah berbanding ikan lain.
 
Satu lagi faktor pemilihan ikan keli afrika kerana mempunyai tabiat mudah tertipu dengan apa juga jenis umpan yang digunakan. Jenis makan pelahap. Jadi, mudahlah pemancing yang menyertai pertandingan mendapat ikan.
 
Pelepasan ikan keli afrika di perairan umum adalah ditegah, melainkan di dalam kolam yang tertutup yang tidak ada sambungan dengan mana-mana sungai atau aliran yang menghubungkan dengan perairan terbuka yang boleh menyebabkan ikan itu terlepas bebas di perairan umum.
 
Biarpun penganjur yang melepaskan ikan keli afrika menyekat aliran air keluar dari kolam tersebut, pun masih ada risiko, kerana kita sedia maklum kemampuan spesies keli untuk bergerak di ruang sempit dan cetek.
 
Malah, ikan keli boleh naik ke darat dalam masa yang singkat untuk berimigrasi ke kawasan lain terutamanya ketika hujan, dan risikonya lebih tinggi jika banjir berlaku.
 
Ikan keli afrika telah pun disenaraikan sebagai ikan larangan daripada dilepaskan ke dalam perairan umum. Sebarang aktiviti pelepasan ikan tempatan juga perlu merujuk kepada Jabatan Perikanan (DOF) terlebih dahulu untuk penilitian dan mendapatkan kebenaran oleh DOF.
 
Kepada penganjur pertandingan memancing yang melibatkan melepaskan ikan ke kolam, pilihlah ikan tempatan seperti puyu, haruan, baung sungai dan tapah. Tindakan itu dapat membantu penternak ikan tempatan.

No comments:

Post a Comment