Thursday 31 August 2023

SEJARAH PENUGASAN KOR ARMOR DIRAJA DI CONGO

 
Penglibatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bermula dengan penugasan di Congo. Ia dikenali Malayan Special Forces Congo (UNOC) bertugas bermula Oktober 1960 hingga 28 April 1963.
 
Penghormatan itu diberikan apabila tamat Darurat dalam tahun 1960, yang bermakna Malaysia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu) telah dianggap “aman” dan “berdaulat” biarpun penentangan pengganas komunis masih wujud.
 
Tentera Darat Malaysia (TDM) diwakili Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD), di bawah pemerintahan Lt Kol Ungku Nasarudin, sebagai batalion yang pertama berkhidmat di Congo dalam tahun 1960.  Mereka diikuti oleh 6 RAMD, 7 RAMD dan 2 RAMD.
 
Turut serta dalam misi pengaman itu ialah Rejimen Pertama Kor Peninjau serta komponen kor-kor lain seperti Semboyan, Perkhidmatan dan lain-lain memberi sumbangan anggota mereka. 
 
Penglibatan Kor Armor Diraja (KAD) dalam misi tersebut sebagai salah satu elemen tempur yang berada di barisan hadapan bersama anggota infantri dalam melaksanakan tugas.
 
KAD ditubuhkan pada 1 September 1952 apabila terbentuknya Batalion Pertama Rejimen Persekutuan (1st Battalion Federation Regiment) dan Rejimen Perisai Persekutuan (Federation Armoured Car Regiment).
 
Walaupun baharu sahaja ditubuhkan, Kor Peninjau Persekutuan telah diberikan mandat untuk menganggotai misi pengaman di Kongo itu. Misi bermula dengan keberangkatan Skuadron Charlie dari 2 Peninjau pada 4 Oktober 1960. Pada ketika ini, Kor Peninjau Persekutuan dilengkapi kereta peninjau Ferret, Daimler dan beberapa kenderaan perisai British.
 
Skuadron ini diletakkan di bawah pemerintahan Pasukan Khas Malaya (Malayan Special Forces, MSF.
 
Atas kecemerlangan Skuadron Charlie 2 telah mengharumkan tanah air, keseluruhan 2 Peninjau telah digerakkan ke Congo bagi memperkuatkan MSF.
 
Kekuatan pasukan pengaman MSF adalah satu briged. Pasukan ini diterajui ole Briged ke-3 Infantri pada waktu itu.
 
Rejimen Pertama Peninjau Persekutuan kemudiannya mengambil alih penugasan daripada 2 Peninjau pada Februari 1962.
 
Penglibatan Kor Peninjau Persekutuan dalam operasi pengaman yang pertama telah mengharumkan nama tanah air. Kejayaan mengukir namanya di persada dunia telah membuktikan kewibawaan dan kegemilangan Kor Armor yang terus terpahat dalam sejarah Tentera Darat Malaysia (TDM).

No comments:

Post a Comment