Thursday, 31 August 2023

SEJARAH PENUBUHAN KOR ARMOR DIRAJA

 
Sejarah Kor Armor Diraja. Kor Armor Diraja (KAD) merupakan satu daripada elemen tempur dalam ketumbukan Tentera Darat Malaysia (TDM). KAD ditubuhkan pada 1 September 1952 apabila terbentuknya Batalion Pertama Rejimen Persekutuan dan Rejimen Kereta Perisai Persekutuan. 
 
Pada ketika itu, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan hanya mempunyai kekuatan sebuah skuadron sahaja. Skuadron ini dikenai sebagai Skuadron Alpha Kereta Perisai Persekutuan yang berpangkalan di Kem Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.
 
Penubuhan Rejimen Kereta Perisai Persekutuan dilihat tepat pada masa kerana untuk berperanan melawan pemberontakan bersenjata oleh pengganas komunis.
 
Pada 18 September tahun yang sama, kekuatan Rejimen Kereta Perisai Persekutuan diperbesarkan menjadi sebuah rejimen di kem yang sama. Perkembangan ini adalah seiring dengan rancangan meningkatkan mutu serta keupayaan pasukan tentera darat pada ketika itu.
 
Kedua-dua Rejimen Persekutuan dan Rejimen Kereta Perisai Persekutuan terlibat secara langsung dalam operasi menggempur pengganas komunis sejak penubuhannya sehingga tamat Darurat Pertama pada 1960.
 
Pada 1 Januari 1960, Rejimen Persekutuan dan Rejimen Kereta Perisai Persekutuan telah disatukan dan diberi gelaran Kor Peninjau Persekutuan. 
 
Di bawah kor ini, Rejimen Persekutuan dikenali sebagai Rejimen Pertama Peninjau Persekutuan. Unit ini turut disebut sebagai 1 Peninjau. 
 
Rejimen Kereta Perisai Persekutuan membentuk Rejimen ke-2 Kor Peninjau Persekutuan dan dikenali sebagai 2 Peninjau. 
 
Pada ketika ini, Kor Peninjau Persekutuan dilengkapi kereta peninjau Ferret, Daimler dan beberapa kenderaan perisai British.
 
Kerana perkhidmatnya yang cemerlang semasa perkhidmatan 1 Peninjau dan 2 Peninjau, Kor Peninjau Persekutuan telah diberikan gelaran kehormat “Diraja” pada 20 Mei 1972.
 
Dengan penjajaran semula peranan dan peralatan, pasukan ini bertukar nama menjadi Kor Kavalri Diraja pada 22 September 1979, dan dalam 1986 ditukarkan menjadi Kor Armor Diraja.
 
Selari dengan penubuhan 10 Briged Para, Kor Armor Diraja turut menubuhkan Skuadron Amor Para yang dijadikan sebahagian komponen tetap Pasukan Atur Cepat (PAC) telah diitubuhkan pada 12 September 1992.
 
Pada 13 Mei 1997, satu lagi sejarah Kor Armor Diraja apabila tertubuhnya Skuadron Istiadat Berkuda. Pasukan itu berperanan untuk untuk mengadakan kawalan istiadat di Istana Negara dan untuk membuat iringan istiadat dalam majlis-majlis rasmi melibatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong


No comments:

Post a Comment