Saturday, 12 October 2024

IKAN KENERAK DIGELAR BAUNG ASKAR

 
Ikan kenerak (Bagarius lica) adalah spesies ikan pemangsa yang mendiami sungai yang mengalir melalui kawasan tanah pamah atau hutan di Malaysia. Ikan kenerak gemar berada di kawasan jeram berbatu yang aliran deras sambil menunggu mangsa. Ikan ini boleh membesar sehingga mencapai berat 20 kilogram. Di Malaysia, ikan kenerak ditemui di lembangan Sungai Pahang, Sungai Terengganu dan Sungai Kelantan.  
 
Nama lain ikan kenerak ialah baung kenerak, ikan tinggang dan baung askar. Dinamakan baung askar kerana corak pada badan berbentuk coloreng askar. Ikan berkepala besar itu memiliki warna kekuningan bercorak celoreng berbanding baung biasa yang berwarna gelap. Nama Inggerisnya ialah devil cat fish, giant painted catfish, sand catfish dan bagrid catfish.
 
Bukan mudah untuk mengumpan ikan pemangsa yang bermisai dan bergigi tajam itu ekoran ia sering berada di kawasan sungai air tawar berarus deras.
 
Sangat sedikit yang diketahui tentang perilaku ikan monster ini di alam liar. Mereka tidak hanya pemakan rakus, tetapi juga perenang yang sangat gagah dan lincah meski ukurannya besar.
 
Ikan berskala besar dan bergigi ini mendapat nama jolokan ‘monster sungai’ kerana ukurannya yang besar dan kecenderungan bersifat agresif.
 
Kawasan sungai berbatu, batang kayu yang hanyut atau tenggelam di dasar sungai dan tiang jambatan sering menjadi tempat kawanan ikan itu berkumpul.
 
Sekiranya kaki pancing menjumpai lokasi-lokasi itu, ia seperti lubuk untuk memancing ikan kenerak. Bukan mudah untuk memperdayakan ikan itu, sekali pun menggunakan umpan hidup.
 
Misainya adalah deria utama ikan kenerak mencari mangsa untuk dimakan dalam keadaan air sungai yang keruh.Ikan kenerak gemarkan umpan cengkerik, anak ikan keli atau ulat lundi.
 
Di Jerantut, Pahang ikan kenerak digulai bersama dengan asam rong. Hidangan ini sangat membangkitkan selera, lebih-lebih lagi apabila dicampur dengan lada burung, serai, bawang dan lain-lain.
 
Harga kenerak sekitar RM25 hingga RM50 sekilogram. Biarpun mahal, peminatnya pasti sanggup membayarnya.
 



No comments:

Post a Comment