Sunday, 24 September 2023

MEMACU GENERASI MADANI DALAM KEPIMPINAN

 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".” (Surah al-Baqarah, ayat 30)
 
Pengajaran dari ayat ke-30 dalam Surah Al-Baqarah ini mentaklifkan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Hal ini menekankan bahawa setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk memimpin dengan menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, menjunjung keadilan, dan menjaga keseimbangan serta keharmonian.
 
Kita harus menyedari bahawa kita semua memikul amanah kepemimpinan di pelbagai bidang, sama ada sebagai pemimpin negara, negeri, atau di peringkat yang lebih kecil; sebagai ibu bapa, guru, pekerja atau dalam apa juga peranan dan posisi, kita semua adalah pemimpin.
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.” (Hadis riwayat Muslim No: 3408) Status: Hadis Sahih
 
Dalam usaha kita untuk membina Malaysia Madani, kita semua perlu bersama-sama membimbing generasi muda dan membangunkan masyarakat Malaysia yang adil, harmoni, dan berperadaban tinggi.
 
Penting bagi kita untuk mendidik generasi Madani dengan menyuntik nilai-nilai kesatuan, perpaduan dan saling menghormati dalam menghargai kepelbagaian, menekankan kepentingan nilai-nilai spiritual, akhlak yang luhur, dan etika yang mulia.
 
Kita juga harus berusaha untuk mengurangkan kesenjangan sosial dengan memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan, dan memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda agar mereka turut terlibat dalam proses pembangunan negara.
 
Hendaklah kita semua menghulurkan tangan sama membantu kerajaan mencapai agenda Madani. Sebagai pemimpin dalam keluarga, marilah didik anak-anak dengan ajaran Islam. Sebagai pemimpin di tempat kerja, laksanakan tanggungjawab dengan telus dan etika yang tinggi. Sebagai pemimpin dalam masyarakat, mari kembangkan perpaduan dan kesatuan dengan semangat saling membantu.
 
Benar, memimpin bukanlah perkara yang mudah. Cabarannya besar dan ujian-ujiannya hebat. Terkadang kita perlu membuat keputusan sulit yang mungkin tidak disukai dan digemari oleh banyak pihak, dan kita mungkin terdedah kepada kritikan dan tekanan dari pelbagai arah.
 
Namun, kita harus memiliki keyakinan yang teguh. Apabila kita telah membuat keputusan, kita bertawakkallah kepada Allah SWT. Lakukan tugas dengan ikhlas dan penuh kesabaran, dan berdoa agar Allah memberikan pertolongan-Nya.
 
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menjadi pemimpin yang cemerlang dan diberkati dalam menjalankan tanggungjawab kita.

No comments:

Post a Comment