Saturday, 14 March 2020

MANUSIA TOLONG SYAITAN MELAKSANA MISI JAHAT

Sesungguhnya, kejayaan syaitan merosakkan hidup anak cucu Adam banyak bergantung kepada ‘pertolongan’ manusia sendiri yang ingkar kepada perintah dan amaran Allah. Sesiapa yang di dalam dirinya mempunyai sifat-sifat syaitan, maka bersaksilah bahawa merekalah akan menjadi teman syaitan di neraka jahanan.

Antara perbuatan yang menyokong perjuangan syaitan ialah membuat fitnah. Justeru, membuat fitnah amat besar dosanya. Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah bermaksud: “Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 217).

Malah, perkataan buruk bukan saja dilarang dilakukan secara terang-terang. Ia tetap dilarang dilakukan biarpun secara bersembunyi atau berbisik-bisik. Berbisik-bisik bermaksud dilakukan dengan niat jahat untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, apabila kami berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan dehaka kepada Rasulullah. Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, yang kepada-Nya kamu kelak bakal dihimpunkan.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 9).

Ironisnya, tidak ada sebarang keharusan disebut dalam mana-mana ayat al-Quran dan hadis mengenai perkataan buruk. Justeru, jika ada pihak mengatakan perkataan buruk boleh digunakan sebagai memenuhi naluri manusia, maka itu bertentangan dengan kehendak agama.

Jika kita tidak menghormati orang lain, sudah pasti orang lain juga tidak akan menghormati kita. Menghormati antara satu sama lain perlu diamalkan tanpa mengira kedudukan, pangkat dan darjat, kaya atau miskin, berilmu atau jahil.

Sikap berbangga menaburkan kata-kata buruk membuktikan kekeringan nilai moral dalam diri. Perbuatan buruk sebenarnya bukan hanya mendatangkan keburukan kepada orang yang ditujukan perkataan, tetapi juga akan berbalik kepada diri sendiri.  

Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci.” (Surah al-Humazah, ayat 1).

Setiap orang perlu mempunyai perasaan tidak suka kepada perkataan tidak baik sama ada mengucapnya atau mendengarnya. Mereka yang mengucap dan mendengar sama mendapat dosa jika kedua-duanya dalam keadaan suka kepada perkataan itu.

Seharusnya kita menjaga nikmat pancaindera lidah agar tidak disalah guna hingga menyebabkan diri berada dalam kerugian di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment