Wednesday 12 July 2023

PARTI GERAKAN CABAR HUDUD KELANTAN

 
Kata orang, kalau benci simpanlah sedikit sayang. Jika sayang, jangan lupa sepenuhnya apa kesalahan lepas, biarpun telah dimaafkan.
 
Jadi, kalau bencikan atau melawan pihak lain, cuba-cubalah tengok sendiri dalam diri kita atau orang-orang yang ada kaitan dengan kita. Adakah apa yang kita katakan kepada lawan itu juga pernah dilakukan oleh kita atau sahabat yang bersama-sama kita.
 
Sikap berhati-hati itu penting agar kita tidak diumpamakan seperti menepuk air di dulang, terpercik di muka sendiri. Atau ada pepatah lain yang menyebut umpama meludah ke langit akan jatuh ke muka sendiri.
 
Pengajaran ini mudah untuk difahami, termasuklah dalam soal politik. Jangan kita berbangga mencanang keburukan parti lain, sedangkan sahabat dalam gambungan parti sendiri pernah melakukan perkara yang sama. Jangan anggap kawan kita itu suci setelah berkawan dengan kita.
 
Begini sejarahnya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.
 
Gerakan pada Jumaat memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud di bawah perlembagaan.
 
Timbalan Ketua Pemuda dan ketua pasukan perundangan Gerakan, Andy Yong Kim Seng, berkata notis usul dikemukakan di pusat sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kira-kira 11 pagi.
 
Dalam notis usul itu, Gerakan meminta Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada parti itu untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi membincangkan dan memutuskan persoalan undang-undang sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal Kanun Jenayah Syariah 11 (Pindaan).
 
Gerakan mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Kelantan mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan Kanun Jenayah Syariah 11 (Pindaan).
 
Gerakan memfailkan notis usul itu mengikut Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Hudud itu adalah tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kebebebasan fundamental yang termaktub dalam Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan.
 
Gerakan percaya bahawa DUN Kelantan telah bertindak melampaui bidang kuasanya dengan menceroboh bidang kuasa Parlimen Malaysia dengan menggubal undang-undang jenayah dan perkara yang menjadi sebahagian daripada Senarai Perundangan Persekutuan seperti termaktub oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
 
Gerakan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bahru yang menolak saman pemula parti untuk mencabar Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
 
Hakim Datuk Azman Abdullah, ketika menolak permohonan itu semalam, berkata saman pemula itu bersifat pramatang kerana difailkan sebelum Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan itu.
 
Hakim juga memutuskan walaupun jika proses tindakan itu bermula pada 18 Mac 2015, pemohon perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4 (3) dan (4) dan Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.
 
Tiga anggota parti iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 18 Mac 2015, iaitu hari sama enakmen itu dibentangkan di DUN berkenaan.
 
Dalam saman pemula itu, mereka menamakan Kerajaan Kelantan sebagai defendan.
 
Bagaimanapun, pada 25 Mac 2015, pemohon memfailkan permohonan baharu mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk Mahkamah Tinggi merujuk permohonan mencabar hudud ke Mahkamah Persekutuan.
 
DUN Kelantan pada 19 Mac 2015 meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) setelah memperoleh undi sebulat suara daripada 44 anggota Dewan yang menghadiri persidangan.

No comments:

Post a Comment