Thursday, 5 January 2023

HORMATI CARA HIDUP KAUM LAIN

 
Pengguna internet perlu lebih berdisiplin dan peka agar tidak membangkitkan isu sensitif, hasutan dan fitnah yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat.
 
Mereka perlu sedar bahawa walaupun perbuatan itu dilakukan dalam talian dan menggunakan nama samaran, kecanggihan teknologi dan kepakaran forensik pihak berkuasa mampu mengenal pasti identiti mereka dan dibawa kepada muka pengadilan. 
 
Rakyat yang sayangkan keamanan dan hubungan baik sesama kaum perlu peka dan faham mengenai isu sensitif.
 
Garis panduan mudah ialah jangan hina agama kaum lain yang merangkumi kepercayaan, cara hidup, cara melakukan ibadat, tempat sembahan dan individu atau objek yang dianggap mulia oleh sesuatu agama.
 
Bagi orang Islam, janganlah kerana ada pihak yang telah melakukan provokasi, maka perbuatan itu dibalas dengan perbuatan yang sama. Ini bukan soal kita takut atau lemah, tetapi itu lebih baik.
 
Pihak berkuasa telah melakukan yang terbaik dalam hal ini. Inilah pentingnya rakyat sentiasa menyokong kerajaan. 
 
Berbalas dan mencipta isu agama untuk melawan pihak musuh tidak mendatangkan kebaikan. Malah, keadaan akan menjadi lebih buruk. 
 
Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Anam ayat 108 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." 

No comments:

Post a Comment