Sombong terhadap orang yang sombong. Terdapat
satu kata-kata yang disandarkan kepada Nabi SAW yang berbunyi yang bermaksud: “Bersikap
sombong terhadap orang yang sombong merupakan satu sedekah.”
Kata-kata ini tersebar dan masyhur dalam
kalangan kita, namun ia bukanlah hadis. Syeikh Mulla Ali al-Qari telah memasukkan
riwayat ini dalam kategori hadis palsu, namun mengakui bahawa perkataan
tersebut pernah diucapkan oleh para ulama dengan maksud yang sama.
(Rujuk Al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Maudhu’ah, hlm, 163)
Terdapat juga riwayat lain yang bermaksud:
“Apabila kami dapati kalangan yang tawaduk dalam kalangan umatku, maka
berlakulah tawaduk terhadap mereka; dan apabila kamu dapati golongan yang
sombong, berlakulah sombong terhadap mereka.”
Riwayat ini disebut oleh Imam al-Ghazali
dalam Ihyaa’ Ulum al-Din, namun Imam Tajuddin al-Subki menyatakan bahawa beliau
tidak menjumpai sanad bagi riwayat ini. (Rujuk Tobaqat al-Syafi’iyyah
al-Kubra 6/354)
Abu Sa’id al-Khadimi sewaktu mengulas
riwayat ini menyatakan bahawa secara asalnya, sikap sombong adalah diharamkan.
Namun kita dibenarkan bersikap sombong terhadap orang yang sombong, dan ia
sebenarnya adalah sedekah dan perbuatan baik, kerana jika kita bersikap tawaduk
di hadapan orang sombong, maka itu akan menyebabkan dirinya terus-menerus
berada dalam kesesatan. Namun, jika kita bersikap sombong, dia akan tersedar
daripada sikapnya itu.
Ini sesuai dengan nasihat Imam Syafi’e,
dimana terdapat riwayat bahawa beliau pernah berkata: “Bersikaplah sombong
kepada orang sombong”. Imam Al-Zuhri pula pernah mengatakan: “Bersikap sombong
kepada pecinta dunia merupakan satu ikatan Islam yang kukuh”.
Imam Yahya bin Mu’adz pula mengatakan,
“Bersikap sombong kepada orang yang bersikap sombong kepadamu dengan hartanya,
merupakan satu bentuk kerendahan diri.”
Kerana itulah dikatakan juga bahawa
menzahirkan sikap sombong untuk menyedarkan orang yang sombong (bukan dengan
niat berbangga diri) merupakan satu sikap terpuji, contohnya sikap sombong
dihadapan orang jahil dan orang kaya yang sombong dengan hartanya.
(Rujuk Bariqah Mahmudiyyah fi Syarh Tariqah Muhammadiyah, 2/186)
Selain itu, Imam al-Munawi memasukkan sikap
sombong terhadap orang yang sombong ini sebagai salah satu amalan-amalan yang
baik. (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir 3/386)
Tuntasnya, riwayat yang menyebut sikap sombong
terhadap orang yang sombong bukanlah hadis, namun ia sekadar kalam dan
pandangan para ulama sebagaimana yang telah dibahaskan.
Seseorang itu diharuskan untuk menzahirkan
sikap meninggi diri terhadap orang yang sombong, dengan niat untuk menasihati,
menegur dan memberi pengajaran terhadap orang yang sombong tersebut. Namun
sikap sombong mestilah pada sudut zahir sahaja, dan tidak mempunyai rasa
sombong yang sebenar di dalam hati.
Namun, sesungguhnya adalah lebih utama
untuk menggunakan kaedah dakwah seperti yang digariskan oleh al-Qur’an
al-Karim.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tidaklah
sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat.
Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik;
apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan
terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
(Surah Fussilat, ayat 34)
Begitu juga dengan firman Allah SWT
bermaksud: “Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan
ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan
(kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin
oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Syura, ayat 40)
No comments:
Post a Comment