Timbul pertanyaan berapa kerap suami isteri
perlu melakukan hubungan seks dalam seminggu atau selang masa tertentu yang
dianggap baik. Pertanyaan ini tidak ada jawapan tepat. Banyak kajian dibuat
menemukan keputusan berbeza.
Ada mengatakan apabila usia meningkat dan mempunyai anak ramai, kadar kekerapan
akan berkurangan. Pendapat lain mengatakan usia bukan faktor mutlak menentukan
kadar kekerapan melakukan hubungan seks suami isteri.
Kadar keupayaan seks lelaki tidak menurun biarpun usia meningkat jika kesihatan
dalam keadaan baik.
Keupayaan seks lelaki berkurangan disebabkan penyakit dan bukan kerana faktor
umur. Penyakit kencing manis, darah tinggi, kolestrol dan masalah jantung
antara punca tenaga lelaki akan berkurangan ataupun tidak mampu berfungsi
langsung.
Setiap pasangan mempunyai pendapat berbeza
dalam soal itu. Namun, jangan sekali-kali ambil mudah dalam soal tersebut. Banyak
pasangan bercerai disebabkan masalah dalam hubungan seks.
Pasangan mengalami tekanan disebab tidak
mendapat apa yang diharapkan dalam hubungan seks. Semua itu membunuh kebahagian
hidup berkeluarga.
Jadi, pasangan suami isteri perlu berbincang
secara terbuka dalam soal ini. Nyatakan apa yang sebenarnya diingini.
Namun jangan keterlaluan dalam ‘permintaan’ yang mungkin akan menyebabkan
pasangan akan rasa tertekan. Sesungguhnya, kesederhanaan itu adalah jalan
terbaik.
Islam telah menetapkan cara terbaik baik
bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup mengikut keinginan dan
keperluan sebenar, yang membawa kebaikan dan mengelak perkara buruk terutamanya
terhadap perempuan.
Secara tabie, lelaki dan perempuan saling memerlukan
bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks. Malah Allah mencipta alam ini
secara berpasang-pasang, saling melengkap antara satu sama lain.
Firman Allah bermaksud: “Maha Suci Allah
yang telah mencipta pasangan-pasangan semuanya baik dari apa-apa yang
ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang mereka belum
ketahui.” (Surah Yasin, ayat 36).
Sememangnya Allah menjadikan manusia
berpasangan dengan rahmat-Nya. Namun hubungan itu perlu dilangsungkan
mengikut peraturan dan hubungan yang dibenarkan. Manusia perlu sedar bahawa
kehidupan di dunia sebagai hamba-Nya perlu mematuhi apa yang
diperintahkan.
Sesungguhnya, Allah mencipta manusia
bertujuan untuk menyembah dan beribadat kepda-Nya. Sebagai imbalan, setiap apa
yang dilakukan akan diberi pembalasan di akhirat nanti. Justeru, apa-apa yang
ditetapkan oleh Allah tidak boleh diingkari, termasuklah dalam bentuk hubungan
lelaki dan perempuan.
Islam menetapkan perkahwinan merupakan
hubungan yang halal bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup
berpasangan. Perasaan kasih sayang, kegembiraan dan rasa tanggungjawab adalah
pengikat kepada hubungan itu.
Firman Allah bermaksud: “Dan antara tanda
kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu,
agar kamu cenderung dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih
sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21).
Pasangan yang memilih memenuhi tuntutan
lahiriah dan batiniah dalam hubungan lelaki dan perempuan tanpa ikatan
perkahwinan, melakukan kesalahan yang bertentangan dengan normal kehidupan
manusia.
No comments:
Post a Comment