Islam telah memperkasakan bangsa dalam
rumpun Melayu di Nusantara, sehingga berjaya menegakkan beberapa kerajaan yang
bertamadun sebelum kedatangan golongan penjajah. Adanya kerajaan seperti
Kesultanan Melaka, Kerajaan Demak, Kerajaan Acheh dan lain-lain, kerajaan yang silih
berganti berkuasa.
Hukum Islam yang adil kepada semua telah
dilaksanakan sehingga berjaya memerintah masyarakat berbagai-bagai suku kaum
dan agama tanpa paksaan dalam beragama. Bahkan, tidak ditukar nama asal
rumpunnya dan tutur bahasanya dengan mengizinkan wujudnya masyarakat majmuk.
Hal ini berpandukan kepada firman Allah
SWT: “Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi
serta berlainan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya, pada hal yang
demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang
mengetahui.” (Surah al-Rum, ayat 22)
Selain itu, Islam membawa mesej kepada manusia
yang terdiri daripada pelbagai bangsa berkonsepkan keluarga besar dengan
perintah Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia!
Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu
(Adam), dan daripadanya itu dijadikan pasangannya (isterinya iaitu Hawa), dan
daripada kedua-duanya Dia mengembangbiakkan keturunan lelaki dan perempuan yang
ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan
menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturahim; kerana
sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” (Surah al-Nisa, ayat
1)
Dan juga firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling
kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya, semulia-mulia kalangan
kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Di Malaysia, antara syarat menjadi atau
diiktirf sebagai bangsa Melayu ialah beragama Islam. Individu yang ibu bapanya
Melayu, tetapi dia tidak menganut agama Islam, maka dia tidak mendapat status
Melayu.
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan di
bawah Perkara 60 Fasal 2, orang Melayu ditakrifkan sebagai “orang Melayu”
ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu,
menurut adat Melayu dan;
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di
Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau
bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari
Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian
Kejayaan Malaysia dalam apa juga bidang
adalah dipacu oleh pemimpin Melayu yang pastinya beragama Islam. Islam
dikatakan mulai masuk dan berkembang di Melaka sejak Islamnya Raja Melaka pada
1276M. Sejak itu Islam bukan sahaja berkembang pesat di Melaka, tetapi Melaka
telah bangkit menjadi sebuah pusat penyebaran Islam yang paling berpengaruh di
Nusantara pada abad ke-15M sehingga dapat menyaingi pengaruh Majapahit yang
berpusat di Jawa.
Sejak dari zaman Kesultanan Melaka sehingga
sekarang, Tanah Melayu ditunjangi kepimpinan oleh orang Melayu Islam.
Kalangan mereka yang membuat kenyataan
bahawa orang Melayu gagal memerintah negara itu perlu disekolahkan kerana pada
hakikatnya mereka itu buta sejarah.
Mereka membuat kenyataan laksana kumpulan
orang buta yang mahu mengenali gajah dengan meraba-raba salah satu anggotanya
sahaja, tanpa melihat seluruh jasad gajah yang besar. Lalu, dinyatakan rupa
bentuk gajah dengan keterangan yang salah dan penuh pembohongan.
Kenyataan mereka itu menyentuh soal
perkauman dan sensitiviti kaum, tanpa mengira kaum yang sangat
berperikemanusiaan dan berbudi bahasa kepadanya. Seolah-olah telah lupa
terhadap bangsanya sendiri yang pernah dizalimi, ketika diangkut oleh penjajah
dan diperhambakan di tapak lombong dan ladang-ladang. Namun, kini mereka diberikan taraf
kewarganegaraan, bukannya menumpang atau dihalau pulang ke negara asalnya.
No comments:
Post a Comment