Lelaki
diharamkan menggunakan emas sebagai bahan perhiasan. Dalam satu hadis dijelaskan
bahawa emas dan sutera hanya untuk wanita, namun diharamkan untuk lelaki.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Emas dan sutera dihalalkan bagi umatku yang wanita,
namun haram bagi lelakinya” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)
Namun, lelaki boleh memiliki atau
menyimpan emas bukan untuk tujuan perhiasan dirinya. Lelaki juga dibenarkan
membawa emas yang bukan tujuan dipakai untuk perhiasan.
Emas yang dijadikan perhiasan
perempuan tidak perlu dikeluarkan zakat. Bagaimanapun, jika jumlahnya dianggap
'terlalu' banyak dan tidak lagi dianggap perhiasaan semata-mata, maka ia wajib
dikeluarkan zakat apabila cukup nisab dan haulnya.
Namun jika emas itu menjadi milik
lelaki dan disimpan, penentuan wajib mengeluarkan zakat hanya bergantung kepada
cukup nisab dan haulnya tanpa mengira pengecualian seperti diberikan kepada
emas yang dimiliki perempuan.
Sesungguhnya menyimpan emas sebagai
satu harta adalah diharuskan. Malah, dalam sistem ekonomi Islam, penggunaan
dinar emas menjadi lambang kepada 'kesempurnaan' nilai mata wang.
Nilai mata wang dinar emas adalah
berdasarkan kepada harga pasaran emas dan diterima oleh semua masyarakat dunia.
Sedangkan nilai wang kertas hanya berdasarkan ia 'diperakui' mempunyai 'nilai'
oleh bank negara sesebuah kerajaan. Pada hakikatnya, wang kertas adalah tidak
ubah seperti kertas bercetak lain.
Sebab itu nilai wang kertas mudah
mudah mengalami turun naik. Jika negara pengeluar mencetak lebih baik wang
kertas negara berkenaan tanpa meletakkan apa-apa cagaran yang sepadan, maka
nilai wang kertas itu akan merosot.
Di negara yang mengalami krisis
ekonomi, nilai wang kertasnya jatuh menjunam, tambah lagi ia berlaku kadar
inflasi yang tinggi. Ketika negara kita diperintah oleh Jepun (1941 hingga
1945) wang kertas 'pokok pisang' mengalami kejatuhan nilai sehingga memerlukan
jumlah yang banyak untuk memberi barang.
Sebab itu, satu kaedah yang
dicadangkan untuk mengatasi kejatuhan nilai mata wang ialah dengan menggunakan
nilai emas. Namun perkara ini dibantah oleh negara maju yang mana nilai
mata wang mereka diperdagangkan di seluruh dunia yang memberi keuntungan kepada
negara berkenaan melalui proses turun naik nilai mata wang.
Mereka boleh mengawal ekonomi dunia
melalui spakulasi mengenai nilai mata wang mereka yang digunakan di seluruh
dunia. Mata wang Dolar Amerika Syarikat lebih banyak berada di luar Amerika
Syarikat berbanding di dalam negara berkenaan sendiri.
Sesungguhnya sesebuah negara itu
boleh membuat sebarang peraturan berkaitan dengan nilai mata wangnya yang berada
di luar negara, termasuk menyahnilai atau menjadikan ia sebagai kertas
biasa.
Ini jauh berbeza bagi wang dinar
emas yang mana ia tetap mempunyai nilai di seluruh dunia selagi manusia
mempunyai nilai fitrah diri inginkan kepada kecantikan, kemegahan dan
kemewahan. Emas mula menjadi rebutan sejak zaman permulaan kehidupan manusia
sehinggalah sekarang.
No comments:
Post a Comment