Indah
seperti di kayangan! Hamparan putih ‘awan karpet’ yang memayungi kawasan tepi
Sungai Kelantan di sekitar puncak Bukit Panau menawarkan panorama alam yang
sangat menakjubkan.
Pancaran
cahaya hasil biasan sang mentari yang seakan-akan malu menjelmakan diri berjaya
menyempurnakan pemandangan memukau, ternyata kombinasi alam semula jadi dicipta
untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
Gerakan
perlahan wap udara sejuk dari permukaan bumi membentuk gabungan kepulan kabus
mampat menghasilkan fenomena awan karpet yang memutih.
Terletak
di jajahan Pasir Mas, bukit yang ketinggian 255 meter dari paras laut ini
menjadi tumpuan dan kian popular dalam kalangan rakyat tempatan bagi operasi
pemburuan awan karpet.
Pembentukan
wap dan kabus daripada tanah dan pokok yang mengelilingi bukit berkenaan
mencipta hamparan putih permaidani awan.
Apabila
wap udara segar daripada permukaan bumi terkumpul seterusnya menjadi mampat, ia
menghasilkan lapisan kabus tebal seperti awan.
Paras
pembentukan awan karpet adalah bergantung kepada kelembapan dalam udara. Ini
kerana kandungan kelembapan mempengaruhi suhu titik embun atau dew point yang
membuatkan wap air berubah menjadi kabus.
Awan
karpet terbentuk seiring dengan naiknya matahari di ufuk timur. Awan karper akan
semakin berkurangan apabila hari semakin panas. Biasanya sekitar pukul 9 pagi
ia sudah mula hilang.
Sebab
itu, mereka yang memburu pemandangan awan karpet perlu memulakan pendakian
paling lewat pukul 7.30 pagi agar dapat berada di pucak Bukit Panau sekitar
pukul 8.30 pagi bagi berpeluang melihat awan karpet.
Lagi awal mendaki lebih baik.
Sebab itu, kebanyakan pemburu awan karpet akan mula mendaki sebaik usai
menunaikan sembahyang subuh.
Pun
begitu, pembentukan awan karpet penuh tidak berlaku setiap hari. Jadi, kira
nasib jugalah. Pun begitu, tompokan awan yang tidak penuh biasanya berlaku
setiap hari, kecuali hari hujan.
Gambar: Dirakam pada pukul 08.05 minit pagi, 27 Disember 2020 oleh seorang pemburu awan karpet yang dikongsikan melalui media sosial.
No comments:
Post a Comment