Saturday, 2 January 2021

MENGAPA PISANG KAKI DIPANGGIL BUAH DEWA

Pokok pisang kaki tidak langsung sama dengan pisang kebatu, pisang emas atau pisang berangan. Sebabnya pokok pisang kaki bukan dari kumpulan buah Musaceae seperti pokok pisang lain.  

Pisang kaki (Diospyros kaki) merupakan sejanis buah-buahan dari keluarga Ebenaceae yang tumbuh di negara mempunyai 4 musim dan di kawasan tropika yang sesuai.

Di negara kita juga ada penanaman pokok pisang kaki, tetapi kurang popular. Mungkin kurang sesuai dengan cuaca. 

Jadi, buah pisang kaki yang banyak dijual di negara kita adalah yang diimport dari luar negara, khususnya dari China dan Korea Selatan yang menjadi pengeluar utama pisang kaki di dunia.

Pisang kaki juga dipanggil sebagai buah persimmon, kaki persimmon, persimmon jepun dan kesmak.

Di kalangan penganut agama tertentu, buah pisang kaki dikaitkan dengan kepercayaan atau amalan agama dan menganggap ia sebagai ‘buah dewa’. Namun ia tiada pula kaitan dengan buah mahkota dewa.

Di negara kita buah pisang kaki semakin mendapat sambutan di kalangan peminat buah. Buah pisang kaki berasa manis dan enak selain kaya dengan vitamin A, mineral dan antioksida yang penting untuk kesihatan.

Buah ini berwarna kuning dan apabila masak ianya berwarna ke merah-merahan. Semakin merah buahnya maka semakin manis rasanya.

Selain rasa sedap, buah pisang kaki kaya khasiat dan kadar kalori yang rendah.

Buah pisang kaki memiliki kandungan nutrisi seperti vitamin A, vitamin C, vitamin E, vitamin K, karbohidrat, serat, protein, kolin, niasin, tiamin, riboflavin, piridoksina, asid folik, kalium, kalsium, tembaga, zat besi, magnesium, mangan, fosfor, beta-karotena, zink dan likopen.

Antara khasiat buah ini ianya boleh menurunkan tekanan darah tinggi, meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah koronori, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu.

Buah ini juga amat baik untuk paru-paru dan jantung. Bentuk buah ini pelbagai ada yang berbentuk bulat dan ada yang berbentuk leper sedikit dan ada berbentuk bujur.

Manakala rasanya juga juga ada yang sangat manis dan ranggup sementara ada juga yang rasa sedikit masam dan pahit. Buah ini ada yang sedap dimakan mentah dan ada yang dibuat buah kering yang juga sangat manis.

Apabila dikeringkan di sekeliling buah ini akan terbentuk serbuk putih yang terdapat pada permukaan buah yang rasanya manis kerana mengandungi manitol, glukos dan vitamin C.

No comments:

Post a Comment