Islam menggalakkan agar setiap muslim bekerja
dengan gigih untuk merebut setiap kurniaan yang Allah sediakan di muka bumi
ini. Sikap mudah berpuas hati dengan apa
yang dimiliki menjadi panghalang kepada kejayaan umat Islam.
Kita menaruh rasa bimbang dengan sikap individu
yang tidak mahu berusaha mencari rezeki secara berlipat ganda kerana lama
kelamaan ia akan menjadi satu budaya dalam masyarakat yang mana sudah merasa
satu ‘kepuasan’ jika telah mampu mengadakan keperluan asas biarpun serba
daif.
Sikap inilah yang turut mendorong golongan muda mengamalkan
sifat negatif yang sekadar berpuas hati dengan apa yang diwarisi daripada ibu
bapa. Mereka lebih berhibur, berlumba
haram dan terlibat gejala sosial biarpun keluarga dalam keadaan daif yang
memerlukan mereka berusaha.
Sesungguhnya, amat besar pahala bagi anak-anak
yang membantu keluarga, khususnya kepada kedua ibu bapa. Rasulullah menjelaskan bahawa anak yang soleh
melakukan kebaikan untuk ibu bapa dan keluarganya dijanjikan pahala yang besar
ketika menemui Allah dengan wajah berseri-seri di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari
rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha
memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya,
maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan
bulan pernama.” (Hadis riwayat Thabrani)
Kisahnya, sedang Rasulullah berbual-bual dengan
para sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat (dalam lingkungan umur
belia) lalu di hadapan mereka. Maka para
sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang
untuk membela agama Allah.” Lalu
Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya:
“Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk
mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah
namanya. Mencari rezeki untuk kedua
orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah. Mereka mencari rezeki untuk dirinya sendiri
supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi, jika keluar kerana
niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabilissyaitan (mengikut
jalan syaitan).” (Hadis riwayat Thabrani).
Keluarlah meninggalkan rumah setiap hari dengan
ikhlas mencari rezeki halal. Kita akan mendapat habuan di dunia dan pada masa
yang sama kebaikan di akhirat.
No comments:
Post a Comment