Keinginan menikmati kesenangan lahir dari
fitrah manusia sebagai tindak balas spontan berdasarkan kepada keperluan rohani
dan jasmani. Islam menekankan kepada perlumbaan mencari rezeki supaya lahir
golongan yang berbeza tingkat kekayaan dalam masyarakat yang memberi kebaikan
dan tolong menolong antara satu sama lain.
Firman Allah bermaksud: “Dan Allah telah
melebihkan rezeki seseorang dari yang lain.” (Surah an-Nahl, ayat 71).
Individu yang telah mencapai usia mampu
bekerja (dalam konteks undang-undang usia 18 tahun dan ke atas dikira layak
bekerja) perlu segera bekerja untuk menampung keperluan sendiri.
Jika telah meninggalkan bangku sekolah lebih
awal disebabkan kandas atau halangan lain, elok terus bekerja mengikut
kesesuaian kelulusan. Mereka yang bekerja mencari rezeki dipandang mulia
sebagai tanda sikap bertanggungjawab. Seseorang tidak harus malu untuk
melakukan pekerjaan yang dianggap kelas rendah di mata masyarakat.
Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal adalah lebih penting berbanding melihat
taraf pekerjaan.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan
seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan
daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari
usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Keikhlasan dan rasa bertanggungjawab penting
untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan kerana itu yang akan dinilai menentukan
kedudukan maruah seseorang. Orang berjawatan tinggi yang terlibat menerima
rasuah adalah lebih hina daripada seorang berjawatan kuli yang melaksanakan
tugas dengan baik.
Islam amat menggalakkan umatnya menjadi kaya
dan keluar dari kemiskinan. Setiap pekerja mesti menetapkan satu tahap
kecekapan yang tinggi untuk mencapai apa yang dikehendaki.
Kekayaan tidak datang dengan sendirinya
seperti kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak
datang melayang. Justeru, setiap pekerja mesti gigih mencari rezeki untuk
mendapat kekayaan yang lebih dan buang sikap malas yang menjadi menghalang
kejayaan hidup.
Golongan muda berpeluang yang terbuka luas
untuk mencari sebanyak mungkin kekayaan dan kejayaan memandangkan tenaga masih
kuat serta semangat yang sentiasa membara. Sikap sesetengah golongan muda yang
lebih suka menghabiskan masa bersukaria perlu dihentikan kerana pada umur muda
inilah perlu dipergunakan untuk mengorak langkah menuju
kejayaan.
Rasulullah pernah mengingatkan golongan muda
agar menggunakan kesempatan umur muda sebelum sampai umur tua. Kelebihan
ketika muda perlu dimanfaatkan untuk memulakan usaha mencari rezeki.
Banyak individu yang berjaya sebenarnya
berusaha dari usia muda dan hanya mencapainya selepas umur 40 tahun atau
kira-kira 20 tahun selepas berusaha. Bahkan ada yang hanya mencapai kejayaan
setelah usia melepasi 50 tahun.
No comments:
Post a Comment