Sesungguhnya
terdapat perbezaan amat ketara antara Islam dengan parti politik. Jadi tidak mungkin ada parti politik yang
dapat berperanan sebagai parti untuk umat Islam.
Islam tidak mengasing-asingkan umatnya
berdasarkan parti politik. Islam
mengajak manusia mementingkan perpaduan dan mengelak persengketaan.
Allah
SWT menurunkan Islam untuk seluruh manusia tanpa mengira batasan geografi,
pemerintahan, bangsa dan budaya.
Sedangkan parti politik hanya untuk sesiapa yang mendaftar sebagai
ahlinya. Keahliannya terbuka kepada penduduk
di sesuatu kawasan sahaja. Tidak ada
satupun parti politik yang melangkaui kawasan negara, walaupun ada cawangan
atau kelab di luar negara.
Semua parti
politik terikat kepada perlembagaan yang dibuat oleh manusia. Tetapi, Islam sepenuhnya diturunkan Allah SWT
kepada manusia. Manusia tidak terlibat dalam merangka atau menentukan peraturan
berkaitan agama.
Sesungguhnya,
tidak akan terjadi apa yang dibuat oleh manusia akan menyamai apa diturunkan
Allah SWT. Sebab itu, setiap parti
politik mempunyai banyak kelemahan sesuai dengan kekurangan manusia yang
menubuhkan parti politik.
Apa
yang jelas, perjuangan politik berdasarkan kepada kepentingan parti mengikut
matlamat yang ditetapkan. Setiap parti
politik mempunyai perlembagaan yang berbeza. Mereka bebas mengubah perlembagaan parti jika mendapat persetujuan
majoriti ahli.
Malah,
dengan persetujuan ahli, parti politik boleh bergabung dengan parti lain atau
mungkin juga dibubar. Perkara ini jauh
berbeza dengan Islam yang tidak pernah bergabung dengan mana-mana ajaran atau
agama lain.
Sesungguhnya,
Islam memperjuangakan kepentingan sejagat. Islam tidak memperjuangan kepentingan kelompok.
Islam adalah universal dan hukum yang
ditetapkan dalam Islam tidak sekali-kali dapat diubah atau ditukar-tukar
mengikut selera kelompok tertentu sahaja. Seluruh umat Islam menggunakan sumber hukum
yang sama iaitu dari al-Quran, hadis dan keputusan bersama para ulama.
Perpaduan
Islam menyeru kepada kesatuan dan tidak boleh memulau mana-mana individu
Islam. Tetapi amalan parti membolehkan
seseorang disekat menjadi ahli atau dibuang menjadi ahli jika tidak mematuhi
peraturan parti.
Peraturan
itu samalah seperti melarang individu atau kumpulan lain daripada bersama-sama
berjuang menegakkan agama Islam (berdasarkan apa yang didakwa). Sesiapa melarang orang berjuang di jalan
Allah SWT, bermakna menentang Allah SWT.
Jika
keislaman ditentukan dengan parti politik, bagaimana nasib orang yang ditolak
dan dibuang daripada parti politik Islam? Apakah keislaman ditentukan oleh pemimpin politik? Apakah orang yang
tidak menyertai parti Islam bermakna dia tidak Islam?
No comments:
Post a Comment