Monday, 20 November 2017

Miskin bertukar kaya

Kemiskinan bukan satu takdir, atau bala yang tidak boleh diubah.  Allah SWT memerintahkan agar manusia berusaha mengubah nasib masing-masing menjadi lebih baik. Yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Rad ayat 11).

Kita diingatkan agar jangan mudah berputus asa jika berdepan dengan kegagalan. Ini kerana setiap kegagalan tentu ada hikmahnya.  Yakinlah bahawa gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya.

Ketekunan dan kerja kuat yang dilakukan tanpa jemu pasti akan membuahkan hasil yang lebih besar. Orang berjaya ratanya bukan dicapai dengan mudah. Mereka telah melalui tempoh perit gentir yang tidak mudah sebelum mencapai kejayaan.       

Kita perlu berusaha memperbaiki kehidupan dengan bersungguh-sungguh.  Setiap perkara baik yang dilakukan adalah bekalan untuk kehidupan di akhirat.  Bekalan untuk dibawa ke akhirat bukan dalam bentuk ibadat khusus semata-mata. Tugas mencari rezeki juga mendatangkan pahala untuk bekalan hidup di akhirat. 

Firman Allah SWT  dalam surah at-Taubah ayat ke 105 bermaksud: "Dan Katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".

Usaha mencari rezeki perlu dilipatgandakan setiap masa.  Kita tidak sepatutnya berada di tahap yang sama sepanjang masa.  Apa yang kurang sempuna diusahkan penambahbaikan untuk mendapat hasil terbaik.  Apa yang dilakukan hari ini adalah lebih baik dari pada semalam dan esoknya pula labih baik daripada apa yang diperoleh pada hari ini.

Sesungguhnya Allah SWT suka kepada mereka yang sentiasa berusaha memperbaiki amalan untuk mendapat hasil lebih baik dalam semua perkara yang diusahakan. Jadi, kita jangan lepas peluang untuk mendapat kejayaan yang dijanjikan di dunia dan bekalan lebih banyak di akhirat kelak.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Berusahalah mencari rezeki sebagai satu ibadat. Lakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya mendapat kebaikan untuk diri, keluarga dan agama.

No comments:

Post a Comment