Wednesday 4 May 2022

KONGSI KEGEMBIRAAN DENGAN JIRAN

 
Kegembiraan menyambut Aidilfitri mesti dikongsikan dengan semua orang.  Islam menegah bergembira dalam keadaan membiarkan jiran tetangga hidup menderita tanpa dihulurkan sebarang bantuan.

Sesiapa tidak membantu tetangganya sekadar termampu, sebenarnya tidak layak merayakan Aidilfitri yang dianggap hari kejayaan mendidik diri menjadi Muslim lebih beriman dan bertakwa.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sambutan Syawal juga masa untuk mengeratkan silatulrahim sesama Muslim, terutama tanggungjawab membantu Muslim lain yang berada dalam kesempitan hidup, tambah-tambah lagi ketika sambutan hari mulia ini. 

Rasulullah menyuruh agar dikayakan orang-orang fakir dan miskin ketika menyambut Aidilfitri. Maksud dikayakan ialah mereka mempunyai bekalan makanan yang cukup dan tidak perlu meminta-minta pada Aidilfitri.

Begitu juga pakaian mereka dalam keadaan yang layak dipanggil pakaian untuk sambutan Aidilfitri, yakni tidak koyak rabak atau tidak melambangkan pakaian untuk menyambut perayaan.

Perantau yang pulang berhari raya sepatutnya juga menjenguk dan bertanya khabar jiran tetangga. Bantulah mereka untuk turut bergembira menyambut Aidilfitri.

Amalan itu tentu sekali memberi kegembiraan yang lebih menyeluruh, yakni bukan sahaja dirasai ibu bapa menyambut kepulangan anak dan cucu, bahkan di kalangan jiran tetangga.

Ada perantau tetapi tidak sama sekali bertanya khabar jiran yang telah lama ditinggalkan. Walhal, ketika kecil dahulu, di rumah jiran itulah tempat dia bermain.

Bertanya khabarlah jiran tetangga dan hulurkan bantuan jika memerlukan, agar kepulangan perantau bukan sahaja membahagiakan ibu bapa, bahkan kepada jiran tetangga.  

No comments:

Post a Comment