Friday 3 December 2021

SOTONG PALING TINGGI DICEMARI KADMIUM

 
Makanan laut sememangnya digemari ramai. Sama ada kering mahupun basah, ia pasti menjanjikan sajian digemari ramai. Sotong dan udang kering, begitu juga ikan bilis merupakan hidangan atau bahan masakan popular bagi hampir semua etnik di Malaysia.

Pun perlu diingatkan, mengikut kajian, kebanyakan sotong kering yang dijual di pasaran dicemari kandungan kadmium yang tinggi hingga boleh menyebabkan kanser payu dara dan prostat.

Selain sotong kering, tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium namun jumlahnya lebih rendah. 

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia selalu membuat ujian kajian kadmium terhadap makanan laut, terutama yang dikeringkan.

Tahukah anda bahawa semua ini disebabkan pencemaran laut yang turut memberi kesan buruk secara global.

Sebenarnya, masih ramai yang tidak tahu bahawa makanan yang menjadi kegemaran mereka selama ini dapat mengancam nyawa.

Kehadiran kadmium dalam sotong kering bukan disebabkan kaedah pengawetan. Sebaliknya, sotong yang tinggal di persekitaran tercemar mengumpul kadmium di dalam badannya.

Tanpa disedari, hakikatnya kita telah menghadam banyak sisa toksik dan racun di dalam badan apabila menjamah pelbagai jenis hidupan laut yang tercemar.

Pembuang sampah sarap, sisa industri dan minyak dikenal pasti sebagai angkara utama manusia yang mengganggu dan seterusnya membunuh habitat serta hidupan marin.

Perbuatan manusia mencemarkan laut mengundang kemudaratan kepada kehidupan manusia sendiri. Hidupan laut yang tercemar sememangnya mengandungi kadmium, tidak terkecuali sotong.

Ini bermakna kandungan kadmium sudah wujud dalam sotong basah ketika ia hidup lagi di habitatnya lagi.

Bagi mengelakkan kesan berpanjangan, pengguna dinasihatkan supaya mengambil bahan makanan tersebut dalam kuantiti yang kecil atau lebih baik mengelak daripada memakannya.

Kadmium merupakan sejenis logam berat yang berbahaya kerana elemen ini berisiko tinggi terhadap pembuluh darah.

Ia memberi kesan terhadap kesihatan manusia untuk jangka masa panjang khususnya hati dan ginjal.

Kesan pengambilan logam toksik yang berlebihan ini boleh mendedahkan seseorang kepada kanser payu dara, kanser prostat serta penyakit buah pinggang.

Kesan jangka pendek pula boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, berpeluh berlebihan, otot menggigil dan keresahan.

Kajian rambang perlu dilakukan bagi mengesahkan kuantiti kandungan kadmium di dalam makanan yang telah diawet kerana dikhuatiri melebihi had yang dibenarkan.

Kementerian Kesihatan boleh mengambil tindakan ke atas pihak yang menjual makanan laut mengandungi paras kadmium melebihi had ditetapkan.  

Di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 paras kadmium yang dibenarkan dalam makanan laut tidak melebihi 1.00 bahagian persejuta (ppm) atau miligram/kilogram.

Jika disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment