Sunday 28 November 2021

BILA MASA BUAH DURIAN SELAT PERLU DIPETIK

 
Setiap jenis pokok ada ciri-ciri berbeza dalam pelbagai aspek. Maklumlah, nama dan jenisnya pun berbeza. Salah satu ciri perbezaan ialah cara memetik buah.

Buah durian selat atau juga dikenali buah durian belanda adalah jenis buah yang perlu dipetik dari pokok. Ia berbeza dengan buah durian yang perlu ditunggu ia gugur sendiri.

Buah durian selat yang telah matang perlu dipetik atau dikait ketika isinya masih keras. Ini bagi mengelak ia rosak ketika jatuh ke tanah, kalau yang dikait atau dijolok menggunakan galah.

Buah yang telah matang jika tidak dipetik akan terus melekat di tangkai sehingga menjadi ranum atau lebu, atau dipanggil juga lohu. Ketika itu isi buah telah menjadi lembik.

Buah yang telah lebu akan menjadi sasaran binatang seperti kelawar, burung, monyet dan serangga lain.

Buah durian selat yang terlalu lebu sudah tidak sedap dimakan. Keadaannya lembik dan sudah berair.

Jika terus dibiarkan, buah akan gugur dengan sendiri ketika sebahagian buahnya telah rosak. Sebenarnya buah durian selat termasuk dalam kategori sukar gugur dalam keadaan buah masih elok.

Justeru, sesiapa yang ada memiliki pokok durian selat, rajin-rajinkan diri untuk melihat buah yang telah matang untuk diambil.

Buah dianggap telah matang jika dilihat kulitnya telah ‘tegang penuh’ dan duri lembut telah semakin kurang.

No comments:

Post a Comment