Tuesday 23 November 2021

SUKAN TEKWANDO BINA SAHSIAH DIRI UNGGUL

 
Sifat sukan yang universal membolehkan aktiviti dilakukan secara terbuka dan masing-masing mempunyai matlamat ke arah positif seperti untuk mencipta kejayaan, riadah, persaudaraan dan semangat berpasukan.

Sukan diakui sebagai satu kaedah membentuk hubungan baik anggota masyarakat tanpa mengira kedudukan, umur dan kekayaan.

Menyertai aktiviti sukan menjadikan seseorang lebih cemerlang dalam hidupnya dan menikmati hidup lebih bermakna.

Kegiatan seni mempertahankan diri boleh membina sahsiah diri yang melibatkan ketahanan fizikal mahupun mental.  Kegiatan itu amat sesuai untuk golongan muda yang sedang mencari jati diri dan aktiviti yang mendatangkan manfaat.

Tidak benar ada dakwaan mengatakan seni mempertahankan diri seperti tekwando menyebabkan pelajar dan golongan muda menjadi agrasif hingga menimbulkan masalah disiplin kerana pada hakikatnya apa yang sebenarnya adalah sebaliknya.

Seni mempertahankan diri mengajar dan mendedahkan pesertanya kepada amalan menghormati rakan dan lawan yang mengutamakan nilai-nilai murni seperti sabar, tolong menolong, ihsan kepada yang lemah dan mematuhi peraturan.

Seni mempertahankan diri mendedahkan peserta kepada teknik yang betul dan berkesan untuk mempertahankan diri ketika berlaku sesuatu tidak diingini.

Kemahiran mempertahankan diri amat penting dikuasai terutamanya di kalangan anak gadis sebagai siapsiaga menghadapi sesuatu ancaman seperti rogol, ragut dan gangguan seksual.

Sokongan dan penyertaan individu, sekolah, kelab serta badan-badan lain dalam menjayakan sukan tekwando akan menyemarakkan perkembangan sukan ini, khususnya untuk melahirkan jaguh yang mampu mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment