Monday 8 November 2021

SIPUT GONDANG EMAS HALAL DIMAKAN

 
Secara umumnya semua jenis siput yang hanya hidup di dalam air halal dimakan selagi ia tidak memabukkan atau beracun. Itu pandangan Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal). Beliau salah seorang ulama yang terkenal di Nusantara.

Namun, ulama Alam Melayu berbeza pandangan tentang hukum makan siput gondang. 

Menurut Syeikh Arsyad al-Banjari, siput gondang haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang hidup dua alam. Hal ini kerana ia boleh hidup kekal di darat.

Adapun menurut Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak termasuk dalam kategori binatang yang boleh hidup dua alam.

Hal ini kerana, menurut Syeikh Ahmad al-Fatani, ketentuan haiwan hidup dua alam yang haram dimakan ialah haiwan yang hidup di dalam air dan di atas darat serta ia pandai mencari makanan di air dan di darat.

Oleh itu, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak pandai mencari makanan di atas darat sepertimana ia mencari makanan di dalam air. 

Walaupun siput gondang ini boleh hidup lama di darat, namun hal ini adalah disebabkan ada basahan dan cecair di dalam kulitnya. Justeru, apabila siput gondang ini diterbalikkan ke atas, nescaya ia akan cepat mati.

Bahkan, siput gondang ini juga mampu hidup di dalam tanah dalam tempoh masa yang lama sehingga tanah tersebut kembali berair sebelum ia keluar semula.

Namun, keadaan hidupnya di dalam tanah tersebut hanya sebagai harakat mazbuh  (berkeadaan lemah dan seolah-olah sudah mati, iaitu tiada lagi padanya suara, penglihatan dan pergerakan mengikut kehendaknya) sahaja.

Inilah pandangan Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah mengikut fatwa beberapa ulama besar di Mesir seperti Syeikh Abdul Hadi al-Anbar al-Misri kerana dikiaskan dengan halal memakan kerang. Sedangkan Syeikh al-Ramli telah memfatwakan secara jelas tentang keharusan memakan kerang.

Selain itu, dikiaskan juga dengan halal memakan sejenis siput yang terdapat di negara Mesir yang menyerupai siput gondang, namun saiznya kecil sedikit.

Begitu juga halal memakan siput yang bersaiz lebih kecil daripada gondang serta mempunyai rupa bentuk dan tabiat sepertimana siput gondang ini. 

Makan siput gondang emas ada kebaikannya. Ia kaya khasiat. Selain itu dengan makan siput gondang dapat mengurangkan populasinya.

Siput gondang emas adalah haiwan perosak utama bagi tanaman padi. Memang sukar untuk menghapuskan siput gondang emas disebabkan kadar pembiakannya amat tinggi. 

Siput ini boleh bertelur sehingga 8,000 biji telur setahun. Lebih daripada 90% telur yang dihasilkan akan menetas dan membesar dengan kadar cepat. Siput gondang boleh hidup lebih daripada 3 tahun.

Kerugian ditanggung oleh petani jika tiada kawalan dilaksanakan terhadap serangan siput gondang emas boleh mencecah RM5,400 sehektar jika terdapat lima ekor siput gondang emas dalam satu meter persegi.

Walaupun siput gondang emas tergolong binatang perosak, ia boleh dimanfaatkan dan secara tidak langsung juga dapat mengurangkan populasinya.

Bagi haiwan, seperti itik yang dibela di dalam sawah untuk mengawal populasi siput gondang emas mampu untuk bertelur dengan lebih kerap. Selain itu, itik yang memakan siput gondang emas terhindar daripada mengalami masalah pinggang lembik dan patah pinggang.

Bagi golongan lelaki yang mengalami masalah tenaga batin dan lesu, siput ini mampu menguatkan tenaga batin orang lelaki dan kebiasaannya siput ini disediakan dalam masakan gulai kuning.

Telur gondang dikatakan dapat melebatkan rambut, cepat memanjangkan rambut dan juga menghitamkan rambut. Caranya telur ini diramas dengan tangan dan terus dilumurkan atas kepala dan biarkan lebih kurang setengah jam sebelum dicuci bersih. Diamalkan setiap hari sehingga nampak keberkesanannya. 

Juga dikatakan mujarab bagi sakit buasir, caranya telur ini dipanaskan dengan minyak kelapa dan dibiarkan sejuk. Lepas itu minyak yang telah diproses telur gondang tadi dilumur pada ibu jari. Gunakan ibu jari tadi untuk menekan buasir sehingga masuk.

Sebenarnya siput gondang ada penggemarnya. Biasanya ia dimasak gulai kuning. Isinya dicungkil atau disedut untuk mendapatkan isinya. Isi siput gondang agak kenyal, tetapi sedap.

Isi siput gondang kaya dengan kandungan mineral seperti kalsium, fosforus dan magnesium, selain sebagai sumber protin.


No comments:

Post a Comment