Wednesday 28 July 2021

Projek Jiwa Murni ATM diteruskan

Antara ‘tradisi’ penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan masyarakat ialah melalui Projek Jiwa Murni.

Projek Jiwa Murni diperkenalkan oleh ATM ketika era menentang pengganas komunis pada awal 1970an, tetap relevan sehingga kini.

Projek Jiwa Murni berbentuk khidmat percuma ATM kepada golongan sasar di kawasan masih dikuasai pengganas komunis. Projek Jiwa Murni dapat merapatkan penduduk setempat dengan anggota ATM.

Pada ketika itu, antara program yang diadakan ialah membina kemudahan awam, khidmat kesihatan dan pendidikan. Ia dilaksanakan oleh rejimen atau kor yang berkaitan.

Pada era penentangan pengganas komunis, Projek Jiwa Murni diadakan bagi membentuk jalinan kerjasama dengan penduduk setempat dengan matlamat untuk mewujudkan jalinan rangkaian sumber maklumat bagi membantu mengesan sebarang aktiviti musuh.

Pendekatan itu ternyata berkesan sehingga membuatkan pengganas komunis tidak berani membina tempat persembunyian berdekatan penempatan penduduk, khususnya di lokasi yang dianjurkan Projek Jiwa Murni.

Walaupun pengganas komunis telah meletak senjata, Projek Jiwa Murni masih diteruskan oleh ATM kepada kumpulan sasar.

Selain peruntukan daripada Kementerian Pertahanan, sumbangan dari kerajaan negeri turut diterima untuk melaksanakan Projek Jiwa Murni. Untuk masa hadapan, diharapkan akan ada syarikat swasta dan agensi untuk bersama-sama dalam Projek Jiwa Murni.

Projek Jiwa Murni mendatangkan banyak kebaikan dan kelebihan. Pertamanya ia masih dapat meneruskan manfaat asal untuk merapatkan hubungan masyarakat dengan ATM.

Keduanya, kos melaksanakan Projek Jiwa Murni dapat dijimatkan sehingga 50 peratus berbanding jika ia dilaksanakan pihak lain kerana menggunakan kepakaran anggota tentera serta peralatan yang sedia ada dalam pasukan ATM.

No comments:

Post a Comment