Monday 2 August 2021

KAFARAH SATU BALASAN PERBUATAN JAHAT

Setiap apa kita lakukan akan mendapat pembalasan daripada Allah sama ada kecil atau besar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar." (Surah an-Nisa, ayat 40)

Allah SWT memberikan balasan-Nya dengan adil. Sesiapa berbuat dosa sebesar zarah maka balasan terhadapnya juga sebesar zarah. Dan sesiapa berbuat kebajikan, Allah SWT tidak hanya membalas, tetapi menambahkan balasan daripada rahmat-Nya dengan gandaan tidak terkira.

Balasan setiap perbuatan sama ada diterima di dunia dan di akhirat. Ada juga pembalasan di dunia sahaja. Manakala perbuatan lain mendapat permbalasan di akhirat sahaja.

Perbuatan buruk yang mendapat pembalasan di dunia dinamakan kafarah atau kifarat.

Kafarah itu mungkin sama seperti apa yang kita lakukan kepada orang lain. Atau mungkin juga pembalasan buruk atau yang kita tidak suka dalam bentuk lain.

Kata pujangga bagaimana kita lakukan begitulah kita akan diperlakukan. Apa yang kita tanam, kita akan mendapat hasil mengikut benih yang ditanam itu.

Justeru, berhati-hatilah melakukan perbuatan buruk terhadap orang lain. Kelak perbuatan itu akan terkena pula kepada diri kita. 

No comments:

Post a Comment