Thursday 22 July 2021

PENERIMAAN ADAT SEBAGAI SUMBER HUKUM

 
Al-adah muhkkamah secara bahasa diambil dari kata al-aud atau al-muawadah yang bermaksud berulang. Dengan kata lain, al-adah muhkkamah membawa erti perbuatan atau amalan yang diulang-ulang yang menjadi budaya dan kebiasaan yang dapat diterima dalam masyarakat.

Manakala uruf pula memberi maksud sesuatu perkara yang telah diketahui oleh individu atau masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan dan menjadi kebiasaan mereka mematuhinya sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan. 

Uruf juga berkaitan perkara-perkara yang mereka tidak lakukan kerana kefahamannya mengenainya. 

Biarpun difinisi al-adah dan uruf nampak berbeza, namun kebanyakan ulama meletakkan ia sebagai satu perkara sama dalam membincangkan kedudukannya sebagai satu cabang daripada lima kaedah fiqh yang digunakan sebagai rujukan hukum. 

Adat telah disepakati majoriti ulama sebagai salah satu kaedah fiqh daripada lima kaedah utama yang digunapakai untuk mensabitkan sesuatu hukum syarak.

Perkara ini banyak diamalkan dalam masyarakat. Banyak di kalangan masyarakat tidak mengetahui bahawa amalan agama yang dilakukan itu sebenarnya adalah adat yang telah diserap dan diterima sebagai hukum.

Namun, adat hanya dijadikan rujukan untuk tujuan mensabitkan hukum syarak ketika tidak terdapat nas yang jelas bagi sesuatu hukum yang hendak disabitkan. Jika telah ada nas jelas, suruhan atau larangan, maka perlu dipatuhi nas itu.  

Maknanya, tidak harus menjadikan adat sebagai sumber hukum yang berkaitan dengannya jika telah ada nas yang jelas meletakkan hukumnya. 

Adat sedemikan dipanggil adat batil atau salah. Jika diteruskan diamalkan adat yang batil itu, maka termasuklah dalam perbuatan ditegah dan berdosa.

Para ulama sepakat menjadikan adat sebagai salah satu asas menentukan hukum.

Penerimaan kaedah ini antara lain berdalil dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik." (Surah al-Araf, ayat 199)  

Ayat itu dapat difahami perkara baik yang sudah diterima dan diamalkan dalam sesuatu masyarakat hendaklah diteruskan, sesuai dengan matlamat Islam yang ingin kepada kebaikan. Islam itu mudah dan memberikan kemudahan kepada penganutnya.   

Turut dijadikan hujah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apa-apa yang didapati dan yang dilihat oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang baik, maka ia juga baik di sisi Allah."

Pun begitu, mengikut tafsir hadis tersebut, ulama menjelaskan bukan mutlak kepada semua adat. 

Sesuatu adat berdasarkan kepada hawa nafsu semata-mata hendaklah ditolak. Banyak adat berasaskan kepada hawa nafsu seperti perempuan mendedahkan aurat tidak boleh diterima sebagai adat yang boleh dijadikan asas mengharuskan perbuatan itu. Mendedahkan aurat satu perkara ditegah. 

Walaupun adat diterima sebagai rujukan hukum, ia tidak berasingan dengan sumber hukum asal. Semua hukum bersumberkan daripada Allah SWT. 

No comments:

Post a Comment