Monday 4 November 2019

RASULULLAH UTAMAKAN TUGAS DAKWAH

Nabi Muhammad SAW tidak menjadikan jawatan untuk kepentingan peribadi. Baginda mengutamakan misi menyebarkan agama Islam kepada seluruh manusia. Baginda menolak jawatan, kekayaan dan penghormatan tinggi yang ditawarkan masyarakat kafir Makkah sebagai balasan jika baginda meninggalkan tugas menyebarkan agama Islam.    

Rasulullah SAW tidak sekali-kali menukarkan tugas dakwah dengan mana-mana tawaran kemewahan hidup yang dijanjikan kaum Musyrikin Makkah. Malah, baginda sanggup melalui ujian gentir yang bukan calang-calang manusia dapat bertahan kira-kira 13 tahun ketika di kota Makkah. 

Ketika di Madinah, Rasulullah SAW terus hidup dalam serba sederhana biarpun ketika itu Islam mula berkembang dan berkuasa. Jika dikira kemampuan umat Islam pada masa itu, selayaknya baginda menikmati kemewahan hidup sebagai seorang pemimpin tertinggi. 

Sesungguhnya, baginda lebih mementingkan keperluan rakyat berbanding kehendak peribadi.  Baginda sanggup berkorban apa saja demi untuk memenuhi keperluan umat Islam biarpun terpaksa mengorbankan kepentingan sendiri. Sehingga ke akhir hayat baginda sentiasa memikirkan nasib umat Islam.

Akhlak mulia dimiliki baginda tidak ada tandingan. Keistimewaan itu bermula sejak usia kanak-kanak yang diamalkan sepanjang masa sehingga meningkat remaja dan dewasa. Penduduk Musyirikin Makkah menggelar baginda al-Amin bererti kesempurnaan akhlak.

Baginda amat dihormati dan disanjung yang dijadikan contoh masyarakat Musyrikin Makkah. Baginda menjalin hubungan baik dengan semua orang dan sering dijadikan tempat mengadu jika ada permasalahan melibatkan masyarakat.

Nabi Muhammad SAW adalah insan yang sentiasa bercakap benar. Baginda tidak pernah berbohong biarpun dalam jenaka. Gurauan baginda tidak melibatkan perbohongan dan menyakiti individu lain, sebaliknya boleh mendatangkan kegembiraan dan keceriaan.  

Rasulullah SAW pernah bersabda selepas bergurau dengan para sahabat, yang bermaksud: “Aku hanya mengeluarkan perkataan dan ucapan yang benar.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad).

Berdasarkan kepada hakikat itu, sesiapa yang menghina peribadi Nabi Muhammad SAW sebenarnya buta sejarah dan sengaja melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang telah diterima oleh masyarakat dunia sejak sekian lama. 

Ternyata, ajaran Islam masih dianggap ancaman kepada penganut agama lain. Hakikatnya, Islam menjanjikan kedamian dan tidak memaksa orang Islam menerima atau menganut Islam. Cukuplah Islam tidak dianggap sebagai musuh.

Dalam sejarah penyebaran Islam, tidak ada sebarang paksaan dilakukan. Bahkan orang Islam yang menjadi mangsa kepada tindakan melampau penganut agama lain. Ketakutan penganut agama Islam terhadap Islam bukan kerana ajaran Islam mengajar kejahatan. Sebaliknya, mereka merasa terancam kerana agama Islam berjaya menarik minat penganut agama lain menganutnya. 

Perkara ini terjadi sejak awal Islam disebarkan. Masyarakat Quraisy Makkah yang bergantung harap perniagaan kepada pengunjung dalam ritual agama merasa terancam apabila Nabi Muhammad SAW mula menyebarkan agama yang menolak kepada penyembahan berhala.

Kebangkitan semula Islam dilihat sebagai ancaman besar kepada kapitalisme dan sosialisme yang saling bertentangan atas prinsip dan kaedah pemilikan material ditambah keperluan memperluaskan pasaran barangan pengguna selepas era penjajahan fizikal sudah berakhir.

Oleh kerana kapitalisme hidup atas prinsip eksploitasi dan manipulasi, maka pilihan yang ada ialah memburuk-burukkan setiap aspek yang berkaitan Islam. Hal itu bukanlah sesuatu yang sukar kerana sudah ramai penganut Islam yang menerima pendidikan Barat percaya bahawa "kebebasan dan hak asasi". 

Cendekiawan Islam mula menyerap masuk pelbagai aliran falsafah sehingga membawa kekalutan dalam pemikiran golongan terpelajar seperti hermeneutika, pluralisme, liberalisme dan terkini ialah menterjemah semula freudianisme menjadi neo-freudianisme.

Akibatnya, umat Islam ‘dijajah’ pemikiran sehingga diam membisu dalam isu-isu mencabar kedudukan Islam dan Nabi Muhammad SAW. Kita mengharapkan orang Islam cepat sedar perkara ini dan bersedia mengamalkan dan mempertahakan Islam sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment