Friday 1 November 2019

POKOK PAKU PIAI MUDA BOLEH DIMAKAN

Pokok piai merupakan pokok paku pakis yang boleh tumbuh dan membesar di kawasan yang kerap ditenggelami air masin. Bagaimanapun ia tidak dianggap tumbuhan air masin.

Jika kawasan tempat piai tumbuh itu ditenggelami air sepanjang masa, pokok piai boleh mati. Manakala jika kerap ditengelami air masin, pokok akan menjadi renek atau tidak membesar dengan baik.

Kawasan banyak ditumbuhi piai ialah tepi sungai dan 'bahagian belakang' kawasan bakau. Pokok piai juga tumbuh di kawasan paya air tawar.

Pokok piai ada banyak jenis, namun antara satunya tidak banyak beza. Selain itu terdapat beberapa nama lain seperti paku laut, paku larat dan papah.

Pucuk daun piai yang masih muda dapat dijamah mentah seperti salad atau dimasak untuk dimakan. Daun-daun itu juga digunakan sebagai makanan lembu.

Daun lebih tua apabila kering adalah seperti kertas dan digunakan penahan kebakaran bagi bumbung jerami (Vietnam Dan Pasifik). Serat-serat bagi daun lama juga digunakan untuk membuat tali.

Rizomnya ditumbuk membentuk adunan dan boleh merawat luka dan bisul. Daunnya juga digunakan bagi menghentikan pendarahan.

Seperti paku pakis yang lain, ia tidak mengeluarkan bunga atau buah-buahan. Pokok piai membiak melalui spora yang kelihatan di pucuk pelepah, pada permukaan bawah.

Terdapat tempat yang menggunakan nama 'piai' iaitu Tanjung Piai di Pontian, Johor.

No comments:

Post a Comment