Negara
kita kerap dilanda masalah kekurangan bekalan air hingga terpaksa membuat
catuan air. Masalah yang timbul semuanya angkara perbuatan manusia sendiri.
Manusia yang melakukan kebinasaan di muka bumi sebenarnya memperlihatkan sifat
tidak bersyukur dengan nikmat Allah.
Perbuatan
itu dinyatakan oleh Allah dalam surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah
kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia,
kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan
mereka, supaya mereka kembali.”
Di
negara kita bekalan air diperoleh daripada punca sungai dan air bawah tanah. Namun
bekalan ini semakin terancam. Air sungai kini mengalami masalah pencemaran yang
serius akibat perbuatan tidak bertanggungjawab manusia.
Anugerah
alam yang dikurniakan oleh Allah perlu dijaga dan dihargai. Jika dirosakkan,
kesannya ditanggung oleh manusia sendiri. Sesungguhnya Allah tidak mengalami
kerugian apa-apa. Manusia sendiri akan mengalami kesan buruknya.
Allah
telah tegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan setiap nasib buruk yang
menimpa kamu adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri, dan Tuhan
memaafkan sebahagian besarnya.” (Surah asy-Syura, ayat 30).
Sungai
yang bersih dan mengalir lancar melahirkan pemandangan yang cantik. Keadaan ini
disebut oleh Allah sebagai tempat yang damai disediakan di syurga.
Firman
Allah yang bermaksud: “Dan kepada orang-orang beriman dan berbuat kebaikan,
sampaikan khabar gembira, bahawa mereka akan mendapat syurga yang di bawahnya
mengalir sungai-sungai.” (Surah al-Baqarah, ayat 25).
Kebanyakan
sungai yang tercemar mengalir melalui bandar dan kawasan perindustrian. Sungai
di bandar dan kawasan perindustrian telah bertukar sebagai longkang mengalirkan
segala sisa buangan dan sampah sarap.
Proses
urbanisasi bukan alasan musnahkan alam sekitar, termasuklah sumber air. Sepatutnya,
semakin manusia mencapai kemajuan, semakin mesra alam. Lebih banyak alat
ciptaan berasaskan sains dan teknologi boleh dimanfaatkan untuk memulihara alam
sekitar.
Kesan
pencemaran sungai akan mengurangkan bekalan air bersih untuk kegunaan kita
seharian. Air yang tercemar tidak selamat untuk digunakan sebagai air minum,
membasuh, mandi dan sebagainya.
Umat
Islam dituntut mengambil langkah pencegahan daripada merawat dalam menghindari
sesuatu penyakit. Dalam hal ini, Imam Ghazali pernah berpesan dengan katanya:
“Sesungguhnya langkah pencegahan itu adalah lebih baik daripada mengubati,
jangan sampai wabak taun telah merebak, barulah kita hendak bertindak
membersihkan kawasan atau menjaga kebersihan.”
Janganlah
kita berperangai seperti orang tidak beriman. Menjaga kebersihan sebahagian
daripada tanda keimanan. Rasulullah sentiasa mengambil berat soal menjaga
kebersihan.
Sabda
Rasulullah yang bermaksud: “Bahawasanya Allah itu Maha Baik amat menyukai
kebaikan, Allah itu Maha Bersih amat menyukai kebersihan dan kesucian, Allah
itu Maha Pemurah amat menyukai sifat dermawan dan murah hati. Oleh kerana itu,
hendaklah kamu bersihkan halaman-halaman rumah kamu dan kawasan sekelilingnya
dan janganlah kamu menyerupai sikap dan perangai orang-orang Yahudi yang suka
mengumpul tahi-tahi binatang di halaman rumah mereka.” (Hadis riwayat Tirmizi
dan Bazzar).
Diharapkan
usaha pemulihan sungai di negara kita dilakukan segera sebelum malapetaka lebih
besar diturunkan oleh Allah. Allah Maha Pembalas terhadap hamba-Nya. Jika bala
diturunkan, kesannya tidak memilih orang yang bertanggungjawab menyebabkan
sungai tercemar sahaja, tetapi semua orang. Justeru, menjadi tanggungjawab
semua pihak untuk menjaga anugerah Allah.
No comments:
Post a Comment