Monday, 21 October 2024

LELAKI DAN PEREMPUAN SALING MELENGKAPKAN

 
Setiap kejadian dan makhluk di muka bumi ini dicipta oleh Allah SWT secara berpasang-pasang sebagai melengkapkan keperluan dan membezakan fungsi yang menunjukkan kekuasaan-Nya. 
 
Manusia dicipta secara berpasangan dengan adanya lelaki dan wanita. Antara lelaki dan wanita dicipta perbezaan agar saling melengkapkan antara satu sama lain.  
 
Memang tidak dapat disangkal, antara lelaki dan wanita saling memerlukan untuk menjadikan hidup ini sempurna dan tenteram. Tidak sempurna lelaki tanpa adanya wanita dan begitulah tiada ertinya wanita tanpa ada lelaki.
 
Sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang berbeza, lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang berbeza antara satu sama lain. Jadi, tidak wujud pertindihan peranan yang berkaitan dengan jantina.   
 
Allah SWT memberi hak yang lebih terhadap lelaki dalam hal tertentu, dan kelebihan yang lain pula kepada wanita. Lelaki dilantik menjadi pemimpin keluarga, dilebihkan dalam soal melakukan ibadat berterusan, mendapat bahagian lebih dalam pembahagian harta pusaka, wali dan talak.
 
Tetapi wanita juga mempunyai kelebihan dalam melahirkan zuriat, diringankan dalam soal ibadat, mendapat saraan daripada lelaki dan tanggungjawab yang lebih ringan berbanding lelaki. 
 
Dengan kata lain, lelaki dan wanita mendapat keistimewaan berbeza bagi membolehkan antara lelaki dan wanita saling memerlukan dan menggunakan keistimewaan itu. Keistimewaan itu harus disyukuri dan dipergunakan sepenuhnya tanpa ada perasaan iri hati atau prejudis. 
 
Lelaki perlu bersyukur dilahirkan sebagai lelaki, dan wanita pula wajar berbangga kerana dia adalah wanita. Ini penting untuk mengelak konflik jantina. Realitinya, ada lelaki berminat menjadi wanita dan ada wanita pula berminat menjadi lelaki.     
 
Perbezaan jantina pada perwatakan, peranan, dan semangat perlu dizahirkan. Tetapi, ini tidak pula bermakna adanya diskriminasi jantina dalam Islam.   

No comments:

Post a Comment