Penciptaan alat
komunikasi secara maya ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan betul
dan baik. Namun, ia menuntut suatu disiplin, tatacara dan tanggungjawab
pengguna supaya kemajuan tidak disalahgunakan untuk menyebar perkara tidak
benar atau palsu.
Tidak dinafikan
peralatan canggih itu hari ini turut disalah guna bagi menyebar pelbagai
maklumat palsu, sesat dan fitnah secara bebas tanpa ada rasa tanggungjawab.
Tambahan pula, sukar sekali untuk mengesan pihak melakukannya.
Dilihat kesannya
terhadap masyarakat, sama ada melalui perhubungan secara lisan atau saluran
teknologi maklumat (IT), kedua-duanya sama tahapnya. Jika secara lisan maklumat
boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitulah juga melalui IT.
Untuk menilai kesahihan
berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan. Antaranya
firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Jika datang kepada
kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang
tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan
kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Allah SWT sudah memberi
peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti dan menyelidik
terlebih dulu berita yang disampaikan oleh orang fasik kepada mereka. Tidak
kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan atau melalui internet.
Seseorang mukmin
dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita disebarkan atau jangan terlalu
cepat pula menafikannya sebelum membuat penelitian serta penyelidikan terhadap
kebenaran berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan
kesalahan di atas kesamaran.
Sebab penurunan ayat itu
ada hubung kait dengan berita dibawa oleh al-Walid bin Uqbah bin Abu Muit.
Ahmad bin Hanbal, meriwayatkan bersumberkan daripada al-Harith bin Dirar
al-Khuzaiy, yang berkata, "Aku bertemu Rasulullah SAW, Baginda mengajakku
supaya memeluk agama Islam. Aku menerima ajakan (dakwah) Rasulullah SAW itu
dengan memeluk agama Islam. Kemudian Rasulullah SAW mengajakku supaya
mengeluarkan zakat, dan aku menerima ajakan itu. Aku berkata lagi: Aku perlu
pulang kepada kaumku terlebih dulu, untuk mengajak mereka supaya sama-sama
memeluk Islam dan mengeluarkan zakat. Sesiapa yang menerima ajakanku itu, aku
akan memungut zakat daripadanya. Wahai Rasulullah SAW apabila sudah cukup
tempoh, maka hantarlah utusan untuk mengambil zakat yang telah dipungut
itu."
Apabila al-Harith
selesai memungut zakat dan tempoh ditetapkan sudah tiba, maka Rasulullah SAW mengutuskan
al-Walid bin Uqbah bin Abu Muit kepada kaum Bani Mustaliq untuk memungut zakat
daripada mereka.
Dalam perjalanan menuju
perkampungan Bani Mustaliq itu, al-Walid merasa takut dan gentar. Lalu al-Walid
bergegas pulang sebelum sempat sampai ke perkampungan Bani Mustaliq dan membawa
berita palsu kepada Rasulullah SAW bahawa al-Harith enggan menyerahkan hasil
kutipan zakat itu, malah mengambil tindakan untuk membunuhnya.
Kemudian Rasulullah SAW
mengutuskan utusannya kepada al-Harith untuk memastikan kebenaran berita yang
disampaikan oleh al-Walid. Dalam perjalanan, utusan Rasulullah SAW itu bertemu
dengan al-Harith dan rombongannya yang sedang menuju kepada Rasulullah SAW
Dalam pertemuan itu, al-Harith bertanya kepada utusan itu, "Kepada siapakah
kamu semua diutuskan. Mereka menjawab: Kepadamu. Al-Harith bertanya lagi:
Mengapa kamu diutuskan ke-padaku? Mereka menjawab: Sesungguhnya Rasulullah SAW
telah mengutuskan al-Walid bin Uqbah kepadamu untuk mengambil hasil kutipan
zakat. Dia berkata bahawa kamu enggan menyerahkan zakat, bahkan bertindak akan
membunuhnya. Lantas al-Harith berkata: Tidak! Demi Allah yang mengutus Muhammad
dengan kebenaran, aku tidak melihat al-Walid pun dan dia tidak datang
kepadaku."
Apabila al-Harith dan
rombongannya tiba di hadapan Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda yang
bermaksud: "Kamu enggan menyerahkan hasil kutipan zakat dan cuba membunuh
utusanku. Maka al-Harith berkata: Tidak! Demi Allah yang mengutus engkau dengan
kebenaran, aku tidak berbuat demikian. Maka turunlah ayat 6, surah
al-Hujurat." (Ibn Kathir)
Baginda SAW bersabda
yang bermaksud: "Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan
tergopoh-gapah (itu) adalah daripada syaitan." (Hadis riwayat Tabrani)
No comments:
Post a Comment