Wednesday 18 July 2018

APA HUKUM MENJAWAB AZAN

Menjawab azan adalah sunat hukumnya, manakala bercakap ketika azan pula bukanlah suatu perkara yang diharamkan. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW dan para sahabat baginda yang bercakap ketika azan. 

Imam Nawawi di dalam Syarh Soheh Muslim menyebut: "Dan ketahuilah bahawa disunatkan menjawab seruan muazzin sepertimana laungannya bagi setiap orang yang mendengarnya sama ada yang berada dalam keadaan suci atau berhadas atau berjunub atau seorang perempuan yang haid dan selain mereka dari kalangan orang yang tidak dilarang untuk menjawabnya. Adapun antara sebab larangan dari menjawab azan ialah jika berada di dalam tandas atau ketika sedang berjimak dengan pasangannya atau seumpama dengannya.”

As-Sonani pula di dalam Subulus salam menyebut: "Dan telah berbeza pendapat (di kalangan para ulama) tantang kewajipan menjawab azan. Jumhur ulama berpendapat tidak diwajibkan. Mereka berdalilkan dengan satu perbuatan Nabi SAW ketikamana baginda mendengar tukang azan melaungkan takbir, baginda bersabda: "(kamu berada) atas fitrah." ketika baginda mendengar syahadah, baginda bersabda: "Kamu selamat daripada neraka." (Hadis riwayat Muslim).

Jumhur ulama berkata: "Jika menjawab azan itu wajib, sudah pasti Nabi SAW akan menyahut azan tersebut sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin. Maka apabila (terdapat perbuatan Nabi yang tidak menyahut azan seperti laungan muazzin) menjadi tanda bahawasanya arahan (menjawab azan seperti hadis dari Abi Said) menunjukkan kepada sunat atau istihab."

Perbincangan mengenai mesti diam atau tidak bercakap semasa azan dilaungkan oleh muazzin berdasarkan kepada hadis bermaksud: ‘Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya.’

Di kalangan ulama mengkategorikan hadis itu sebagai lemah dan palsu. 

Berdasarkan pendapat ulama berkaitan hukum menjawab azan, maka mustahil orang yang tidak mendiamkan diri ketika azan akan dikelukan lidahnya ketika hampir mati, kerana hukum menjawab azan itu adalah sunat sahaja sepertimana yang dinyatakan oleh kebanyakan ulama.  

Berkenaan dengan hadis tersebut, salah satu daripada ciri-ciri sesuatu hadis itu palsu ataupun lemah ialah apabila ia memberikan ancaman yang besar atas kesalahan yang kecil. Demikianlah hadis yang di atas. Ia memberi ancaman yang berat jika meninggalkan perkara yang sunat iaitu menjawab azan. Ini menunjukkan hadis tersebut bukanlah hadis sahih. Ia sekitar hadis lemah ataupun palsu. 

No comments:

Post a Comment