Misalnya apabila
menyentuh mengenai kecantikan, ramai yang menggambarkan sifat seperti tinggi
dan ramping, solekan sempurna dengan aksesori menawan sebagai cara mengukur
imej seseorang.
Banyak faktor boleh diambil kira dalam
membentuk imej diri sempurna. Memang tidak dinafikan solekan dan aksesori
digayakan sebagai sebahagian cara untuk menghasilkan imej diri menarik, tetapi
ada faktor lain yang lebih penting perlu dipertimbangkan.
Cara berjalan sudah boleh memberitahu orang
di sekeliling mengenai diri anda atau apa yang sedang anda rasakan. Begitu juga
dengan cara bercakap. Orang yang bercakap dengan kuat, lazimnya dikatakan cuba
mengatasi rasa rendah diri yang ada di dalam jiwanya atau cuba menarik
perhatian orang di sekelilingnya.
Sebaiknya berjalan dengan teratur dan
bersemangat. Apabila bercakap, kurangkan pergerakan tangan atau gunakan
suarakan yang lembut tetapi jelas. Tidak perlu menjerit-jerit kerana ia
membuatkan diri kelihatan langsung tidak menarik apatah lagi anggun.
Imej diri tidak wajar diukur dengan sifat
tinggi dan langsing sebaliknya kegembiraan dan keyakinan diri yang ditampilkan
oleh individu terbabit. Tiada guna memiliki tubuh tinggi lampai dan kurus,
tetapi berpenyakit sehingga sering kelihatan pucat atau tidak berseri.
Saiz bukan menjadi perkara utama sebaliknya
pastikan diri anda sihat. Tubuh sihat menjadikan anda lebih yakin dengan diri
sendiri dan kelihatan gembira selalu. Keyakinan adalah aksesori penting yang
perlu ada dalam diri setiap individu. Anda perlu bersikap optimis untuk
menambah keyakinan diri.
Senyuman pula adalah solekan sebenar untuk
mendapatkan rahsia wajah berseri. Tidak guna bersolek tebal, tetapi wajah
sentiasa kelihatan masam dan menakutkan orang lain.
Senyuman bukan saja membuatkan anda mudah didekati,
tetapi juga melegakan 26 otot sekeliling wajah. Jika masam selalu, 62 otot
wajah mengalami ketegangan dan akibatnya wajah mudah berkedut, membuatkan anda
kelihatan lebih tua.
Selain membina imej diri, memilih cara
berpakaian yang betul juga adalah rahsia tampil menawan. Memilih pakaian sesuai
perlu bergantung kepada bentuk badan. Walaupun bagi wanita ada
sekurang-kurangnya tujuh bentuk tubuh, kebanyakan wanita di negara ini memiliki
tubuh berbentuk buah pir.
Wanita dilahirkan dengan pelbagai bentuk
seperti gitar, lurus, buah pir berlekuk dan sebagainya. Terpulang kepada
kebijaksanaan anda untuk menutup bahagian yang dirasakan ada kekurangan.
Misalnya jika bertubuh bentuk gitar, elakkan daripada menggayakan pakaian yang
memiliki garisan pada pinggang.
Pemilihan warna tidak semestinya bergantung
kepada warna kulit. Jangan bimbang
kerana tidak kira anda berkulit gelap atau putih kuning, anda boleh menggayakan
apa saja warna digemari.
Warna boleh membuatkan anda kelihatan hangat
atau sejuk. Fabrik berasaskan warna kuning boleh menjadikan anda kelihatan
hangat jika digandingkan dengan aksesori keemasan atau warna tembaga untuk
rambut.
Sekiranya ingin tampil sejuk, gayakan fabrik berasaskan warna biru
dengan aksesori daripada perak atau platinum.
Pemilihan fabrik sesuai juga boleh
menghasilkan kesan tertentu. Misalnya fabrik lembut dan nipis, melahirkan kesan
kewanitaan. Sebaiknya, rancang penampilan anda seminggu lebih awal sama ada ingin
kelihatan ceria, bahagia atau kelihatan muram.
No comments:
Post a Comment