Sunday 22 July 2018

SEJARAH HOSPITAL BAHAGIA ULU KINTA TANJUNG RAMBUTAN

Tanjung Rambutan, sebuah pekan di daerah Ulu Kinta, Perak senonim dengan tempat orang 'gila'. Sebut sahaja Tanjung Rambutan, maka terbayanglah tentang sebuah hospital penjagaan mental paling tua dan terkenal di Malaysia. Sebenarnya, hospital mental atau dipanggil hospital bahagia yang terletak di Tanjung Rambutan tidak pernah menggunakan nama pekan itu secara rasmi.

Sejarah pembinaan pusat rawatan mental yang kini dikenali Hospital Bahagia Ulu Kinta bermula pada tahun 1910 apabila Dr. Samuels telah mencadangkan supaya kerajaan membina sebuah hospital yang diberi nama sebagai Federal Lunatic Asylum di Tanjung Rambutan.

Pembinaan tersebut telah siap dibina pada tahun 1911 dan Dr. W.F. Samuels telah dilantik menjadi Penguasa Perubatan yang pertama di pusat penjagaan mental itu. Pada peringkat awal, Federal Lunatic Asylum adalah merupakan sebuah yayasan psikiatri yang mengandungi 3 buah wad lelaki dan sebuah wad perempuan yang dipisahkan oleh ruang dapur sahaja.

Pada tahun 1928 Federal Lunatic Asylum telah diubah nama kepada Central Mental Hospital dan pada awal tahun 1970, nama telah diubah kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menampilkan imej yang lebih positif ke atas perkembangan rawatan psikiatri.

Keluasan asal Hospital Bahagia Ulu Kinta ialah 544 ekar di mana lebih kurang 300 ekar digunakan untuk mendirikan pelbagai bangunan dan bakinya digunakan untuk aktiviti–aktiviti pemulihan pesakit seperti pertanian, penternakan dan perikanan. Namun begitu, pada tahun 2007 sebanyak 41 ekar telah diserahkan untuk pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta.

Fungsi hospital bahagia menawarkan rawatan jagaan, memberi rawatan klinikal, psikologi, moral, dan kerohanian bagi mereka yang mengalami masalah mental, atau turut dikenali sebagai sakit jiwa, gila, tekanan perasaan dan lain-lain yang berkaitan.

Sungguhpun begitu dari segi perubatan, mereka yang ditempatkan di sini tidak semuanya di luar kawal, dan pesakit yang tidak berapa teruk akan diberi latihan di bengkel pertukangan bagi lelaki dan bengkel kerja tangan bagi wanita. Selain itu pesakit turut diberi latihan bertani dan kesemua aktiviti ini mempunyai nilai rawatan yang dinamakan sebagai terapeutik bagi membantu pesakit bertenang dan pulih.

Hakikatnya pesakit yang dirawat di hospital bahagia bukanlah semuanya 'gila', dan juga bukan semuanya 'liar'. Bahkan ada yang memohon untuk ditempatkan di hospital bahagia bertujuan ingin menenangkan fikiran, jauh dari tekanan kerja dan tekanan hidup.

Petugas di hospital bahagia memerlukan kemahiran berkomunikasi dan berfikir secara kreatif dan inovatif. Mereka sentiasa berdepan dengan pesakit yang tidak mampu dijangka tingkah laku atau reaksi terhadap sesuatu keadaan. Jadi, kesabaran dan pengalaman amat diperlukan.

No comments:

Post a Comment