Wednesday 23 March 2022

DERITA DIGIGIT SENGKENIT SI KUTU BABI

 
Nama dalam bahasa baku ialah sengkenit. Tetapi banyak orang memanggilnya kutu babi. Manakala di Kelantan pula dipanggil ‘pirah’.

Mengikut definisi Dewan Bahasa, ‘sengkenit’ adalah sejenis kutu pada binatang. Ia juga dipanggil cengkenit. Dinamakan sengkenit atau cengkenit mungkin kerana tubuhnya kecil, tetapi kesan gigitannya amat terkesan.

Kalau kanak-kanak diserang kutu babi, setiap kali cubaan untuk menanggalkan, mereka tentu meraung kesakitan malah terpaksa menahan rasa gatal yang teramat.

Kutu babi sejenis ektoparasit (parasit luaran) ada banyak spesies. Kutu babi ada yang berkulit lembut dan berkulit keras. Kutu babi dalam kategori kulit keras sahaja ada lebih 700 spesies.

Biarpun kecil dan nampak lemah, jangan sekali-kali abaikan kesan keberadannya di badan kita. Cengkenit boleh menghasilkan sejumlah telur dan akhirnya bermaharajalela pada anggota badan tertentu bagi tempoh yang lama.

Sengkenit sesuai membiak di kawasan dengan tahap kelembapan tinggi dan keadaan suhu yang suam-suam kuku. Jika cuaca terlalu panas dan kering, ia tidak dapat membiak dengan aktif.

Satu lagi keperluan hidup sengkenit adalah wujudnya perumah yang banyak untuk ditumpangi, manakala perumah yang paling disukai adalah manusia serta mamalia seperti burung, reptilia dan amfibia.

Bagi kanak-kanak yang tinggal di kampung, terkena gigitan sengkenit perkara biasa kerana kawasan kampung memenuhi tiga faktor utama bagi sengkenit membiak iaitu lembap, suhu sederhana dan banyak binatang (perumah) untuk ditumpang seterusnya dihisap darahnya.

Habitat haiwan ektoparasit ini adalah pada lalang dan daun belukar. Apabila mangsa menghampiri habitatnya, sengkenit akan melekat lalu merayap mencari kawasan kulit sebelum menyedut darah menggunakan sengat tajam di bahagian depan.

Memiliki fizikal berkaki lapan, kebiasaannya sengkenit suka menghisap darah manusia di sekitar permukaan kulit yang lembut. Ini termasuk pada muka, mata, telinga dan kemaluan.

Bila ia menghisap darah, saiz perutnya akan membesar 30 kali ganda daripada saiz asal.

Biasanya masyarakat di kampung akan menyapukan kapur sireh untuk memudahkan sengkenit ini menanggalkan dirinya.

Selain itu, bagi memudahkan lagi usaha menanggalkan sengkenit, anda boleh menggunakan bantuan penyepit dengan menyepit pada anggota badan sengkenit dan tarik perlahan-lahan.

Jika ada tanda-tanda deman, sila dapatkan rawatan di hospital. Jangan pandang mudah, kesan gigitan binatang kecil ini boleh mendatangkan kesan mudarat yang tidak terduga.

No comments:

Post a Comment