Monday 10 February 2020

KEPENTINGAN MENJAGA SUMBER AIR


Negara kita kerap dilanda masalah kekurangan bekalan air hingga terpaksa membuat catuan air. Masalah yang timbul semuanya angkara perbuatan manusia sendiri. Manusia yang melakukan kebinasaan di muka bumi sebenarnya memperlihatkan sifat tidak bersyukur dengan nikmat Allah.

Perbuatan itu dinyatakan oleh Allah dalam surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali.”

Di negara kita bekalan air diperoleh daripada punca sungai dan air bawah tanah. Namun bekalan ini semakin terancam. Air sungai kini mengalami masalah pencemaran yang serius akibat perbuatan tidak bertanggungjawab manusia.

Anugerah alam yang dikurniakan oleh Allah perlu dijaga dan dihargai. Jika dirosakkan, kesannya ditanggung oleh manusia sendiri. Sesungguhnya Allah tidak mengalami kerugian apa-apa. Manusia sendiri akan mengalami kesan buruknya. 

Allah telah tegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan setiap nasib buruk yang menimpa kamu adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri, dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya.” (Surah asy-Syura, ayat 30).

Sungai yang bersih dan mengalir lancar melahirkan pemandangan yang cantik. Keadaan ini disebut oleh Allah sebagai tempat yang damai disediakan di syurga. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan kepada orang-orang beriman dan berbuat kebaikan, sampaikan khabar gembira, bahawa mereka akan mendapat syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai.” (Surah al-Baqarah, ayat 25).

Kebanyakan sungai yang tercemar mengalir melalui bandar dan kawasan perindustrian. Sungai di bandar dan kawasan perindustrian telah bertukar sebagai longkang mengalirkan segala sisa buangan dan sampah sarap. 

Proses urbanisasi bukan alasan musnahkan alam sekitar, termasuklah sumber air. Sepatutnya, semakin manusia mencapai kemajuan, semakin mesra alam. Lebih banyak alat ciptaan berasaskan sains dan teknologi boleh dimanfaatkan untuk memulihara alam sekitar.   

Kesan pencemaran sungai akan mengurangkan bekalan air bersih untuk kegunaan kita seharian. Air yang tercemar tidak selamat untuk digunakan sebagai air minum, membasuh, mandi dan sebagainya. 

Umat Islam dituntut mengambil langkah pencegahan daripada merawat dalam menghindari sesuatu penyakit. Dalam hal ini, Imam Ghazali pernah berpesan dengan katanya: “Sesungguhnya langkah pencegahan itu adalah lebih baik daripada mengubati, jangan sampai wabak taun telah merebak, barulah kita hendak bertindak membersihkan kawasan atau menjaga kebersihan.”

Janganlah kita berperangai seperti orang tidak beriman. Menjaga kebersihan sebahagian daripada tanda keimanan. Rasulullah sentiasa mengambil berat soal menjaga kebersihan.  

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bahawasanya Allah itu Maha Baik amat menyukai kebaikan, Allah itu Maha Bersih amat menyukai kebersihan dan kesucian, Allah itu Maha Pemurah amat menyukai sifat dermawan dan murah hati. Oleh kerana itu, hendaklah kamu bersihkan halaman-halaman rumah kamu dan kawasan sekelilingnya dan janganlah kamu menyerupai sikap dan perangai orang-orang Yahudi yang suka mengumpul tahi-tahi binatang di halaman rumah mereka.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Bazzar).

Diharapkan usaha pemulihan sungai di negara kita dilakukan segera sebelum malapetaka lebih besar diturunkan oleh Allah. Allah Maha Pembalas terhadap hamba-Nya. Jika bala diturunkan, kesannya tidak memilih orang yang bertanggungjawab menyebabkan sungai tercemar sahaja, tetapi semua orang. Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaga anugerah Allah. 

No comments:

Post a Comment