Antara
‘tradisi’ penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan masyarakat ialah
melalui Projek Jiwa Murni.
Projek
Jiwa Murni diperkenalkan oleh ATM ketika era menentang pengganas komunis pada
awal 1970an, tetap relevan sehingga kini.
Projek
Jiwa Murni berbentuk khidmat percuma ATM kepada golongan sasar di kawasan masih
dikuasai pengganas komunis. Projek Jiwa Murni dapat merapatkan penduduk
setempat dengan anggota ATM.
Pada
ketika itu, antara program yang diadakan ialah membina kemudahan awam, khidmat
kesihatan dan pendidikan. Ia dilaksanakan oleh rejimen atau kor yang berkaitan.
Pada
era penentangan pengganas komunis, Projek Jiwa Murni diadakan bagi membentuk
jalinan kerjasama dengan penduduk setempat dengan matlamat untuk mewujudkan
jalinan rangkaian sumber maklumat bagi membantu mengesan sebarang aktiviti
musuh.
Pendekatan
itu ternyata berkesan sehingga membuatkan pengganas komunis tidak berani
membina tempat persembunyian berdekatan penempatan penduduk, khususnya di
lokasi yang dianjurkan Projek Jiwa Murni.
Walaupun
pengganas komunis telah meletak senjata, Projek Jiwa Murni masih diteruskan
oleh ATM kepada kumpulan sasar.
Selain
peruntukan daripada Kementerian Pertahanan, sumbangan dari kerajaan negeri
turut diterima untuk melaksanakan Projek Jiwa Murni. Untuk masa hadapan,
diharapkan akan ada syarikat swasta dan agensi untuk bersama-sama dalam Projek
Jiwa Murni.
Projek
Jiwa Murni mendatangkan banyak kebaikan dan kelebihan. Pertamanya ia masih
dapat meneruskan manfaat asal untuk merapatkan hubungan masyarakat dengan ATM.
Keduanya,
kos melaksanakan Projek Jiwa Murni dapat dijimatkan sehingga 50 peratus
berbanding jika ia dilaksanakan pihak lain kerana menggunakan kepakaran anggota
tentera serta peralatan yang sedia ada dalam pasukan ATM.
No comments:
Post a Comment