Al-adah muhkkamah secara bahasa diambil dari kata
al-aud atau al-muawadah yang bermaksud berulang. Dengan kata lain, al-adah
muhkkamah membawa erti perbuatan atau amalan yang diulang-ulang yang menjadi
budaya dan kebiasaan yang dapat diterima dalam masyarakat.
Manakala uruf pula memberi maksud sesuatu perkara yang
telah diketahui oleh individu atau masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan
dan menjadi kebiasaan mereka mematuhinya sama ada dalam bentuk perkataan
ataupun perbuatan.
Uruf juga berkaitan perkara-perkara yang mereka tidak
lakukan kerana kefahamannya mengenainya.
Biarpun difinisi al-adah dan uruf nampak berbeza, namun
kebanyakan ulama meletakkan ia sebagai satu perkara sama dalam membincangkan
kedudukannya sebagai satu cabang daripada lima kaedah fiqh yang digunakan
sebagai rujukan hukum.
Adat telah disepakati majoriti ulama sebagai salah satu
kaedah fiqh daripada lima kaedah utama yang digunapakai untuk mensabitkan
sesuatu hukum syarak.
Perkara ini banyak diamalkan dalam
masyarakat. Banyak di kalangan masyarakat tidak mengetahui bahawa amalan
agama yang dilakukan itu sebenarnya adalah adat yang telah diserap dan diterima
sebagai hukum.
Namun, adat hanya dijadikan rujukan untuk tujuan
mensabitkan hukum syarak ketika tidak terdapat nas yang jelas bagi sesuatu
hukum yang hendak disabitkan. Jika telah ada nas jelas, suruhan atau larangan,
maka perlu dipatuhi nas itu.
Maknanya, tidak harus menjadikan adat sebagai sumber
hukum yang berkaitan dengannya jika telah ada nas yang jelas meletakkan
hukumnya.
Adat sedemikan dipanggil adat batil atau salah. Jika
diteruskan diamalkan adat yang batil itu, maka termasuklah dalam perbuatan
ditegah dan berdosa.
Para ulama sepakat menjadikan adat sebagai salah satu asas
menentukan hukum.
Penerimaan kaedah ini antara lain berdalil dengan firman
Allah SWT yang bermaksud: "Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah
dengan perkara yang baik." (Surah al-Araf, ayat 199)
Ayat itu dapat difahami perkara baik yang sudah diterima
dan diamalkan dalam sesuatu masyarakat hendaklah diteruskan, sesuai dengan
matlamat Islam yang ingin kepada kebaikan. Islam itu mudah dan memberikan
kemudahan kepada penganutnya.
Turut dijadikan hujah berdasarkan hadis Rasulullah SAW
yang bermaksud: "Apa-apa yang didapati dan yang dilihat oleh orang-orang
Islam sebagai sesuatu yang baik, maka ia juga baik di sisi Allah."
Pun begitu, mengikut tafsir hadis tersebut, ulama
menjelaskan bukan mutlak kepada semua adat.
Sesuatu adat berdasarkan kepada hawa nafsu semata-mata
hendaklah ditolak. Banyak adat berasaskan kepada hawa nafsu seperti
perempuan mendedahkan aurat tidak boleh diterima sebagai adat yang boleh
dijadikan asas mengharuskan perbuatan itu. Mendedahkan aurat satu perkara
ditegah.
Walaupun adat diterima sebagai rujukan hukum, ia tidak
berasingan dengan sumber hukum asal. Semua hukum bersumberkan daripada
Allah SWT.
No comments:
Post a Comment