Monday 11 June 2018

PERLU LAKU IBADAT IKUT KEMAMPUAN

Sesungguhnya Allah SWT tidak bertujuan memberi kesusahan kepada hamba-Nya dalam melaksanakan ibadat. Setiap perintah berkaitan ibadat berdasarkan apa yang termampu dilakukan. Ini kerana konsep ibadat bukan satu hukuman atau satu bentuk penyiksaan. Lakukan ibadat ikut kemampuan sebagai tanda melakukan ketaatan kepada Allah.

Dalam Islam menekankan perkara yang mudah dan mendatangkan kebaikan. Firman Allah SWT bermaksud: "Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik." (Surah al-Araf, ayat 199).

Sebenarnya perintah Alllah SWT dalam semua suruhan memperlihatkan kemudahan dan kelonggaran. Tidak ada satu pun ibadat yang boleh dikategorikan sebagai sukar untuk dilakukan. Jauh sama sekali perintah melakukan ibadat yang boleh mendatangkan bahaya.    

Firman Allah SWT pula bermaksud: “Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78).

Ibadat puasa pada bulan Ramadan umpamanya, mempunyai kelonggaran diberikan kepada mereka menghadapi kesukaran atau keperluan yang diharuskan, meninggalkan ibadat yang diwajibkan itu.

Ini membuktikan Islam tidak mahu mendatangkan kemudaratan dalam melaksanakan ibadat. Sebab itu, dalam keadaan yang boleh menimbulkan mudarat, maka wajib seseorang tidak berpuasa. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (boleh berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Kelonggaran itu jelas memberi kemudahan dalam perlaksanaan ibadat puasa. Islam mementingkan keselesaan kepada umatnya untuk melakukan ibadat dengan tenang, selesa, ikhlas dan selamat. 

Justeru, sesiapa melihat perlaksanaan ibadat dalam Islam dari sudut yang sukar sebenarnya tidak memahami Islam secara menyeluruh. Amalan wasatiyyah dan istiqamah adalah lebih penting berbanding sikap ekstrem dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Rasulullah SAW sentiasa menekankan kepentingan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuklah dalam seruan dakwah. Ketika mengutuskan Muaz bin Jabal dan Abu Musa al-Asyari ke Yamam, Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud: “Berikan kemudahan (kepada orang) dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri (daripada Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Konsep mudah dan memudahkan memberi altenatif untuk membolehkan sesuatu maksud dilaksanakan biarpun dalam keadaan ketiadaan sumber asal. Sebagai contohnya, dalam soal menyucikan diri. Ketika ketiadaan air atau air yang ada lebih penting untuk kegunaan lain, penyucian boleh dilakukan dengan tanah atau debu secara tayamum.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lalu jika tiada air, hendaklah kamu tayamum dengan tanah yang bersih, yaitu sapulah mukamu dan tanganmu dengan (tanah itu). Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6).

Jelaslah tidak ada perkara sukar untuk dilaksanakan oleh setiap umat Islam dalam apa hal sekalipun. Sebab itu Rasulullah SAW menjelaskan tentang keutamaan melakukan perkara mudah yang mampu dilakukan tanpa berlebih-lebih.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad bermaksud: “Sebaik-baik (ajaran) agama kamu ialah yang paling mudah.” 

Mengambil perkara mudah bukan pula bermakna tidak memperdulikan atau mempermainkan hukum agama. Sesuatu ketetapan hukum perlu dilaksanakan dengan sempurna dan ikut keperluan.   

Perkara ini diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti diriwayatkan dari Aisyah, apabila Rasulullah SAW diberi pilihan, maka Baginda akan memilih perkara lebih mudah selama mana bukan perkara dosa." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tentunya kita dapat perhatikan amalan dalam Islam tidak ada yang bertentangan dengan fitrah manusia. Setiap ibadat yang diperintahkan mempunyai banyak kebaikan yang memberi kebaikan kepada manusia sendiri. Maka, tidak ada alasan untuk manusia ingkar daripada melaksanakan setiap ketentuan yang ditetapkan oleh agama.

Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui mengenai keupayaan manusia dan tentunya tidak akan menyusahkan hamba-Nya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan.

Firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 28 bermaksud: “Allah sentiasa hendak meringankan bebanan hukum-Nya daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Bahkan Allah SWT menegaskan bahawa Dia ingin memberi kemudahan dan bukannya kesukaran kepada manusia. Maksud firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 185: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”

Contohnya, Muslim perlu melakukan ibadat sembahyang biarpun tidak mampu berdiri atau dalam keadaan sakit. Selagi mampu dan fikiran masih waras, maka hendaklah disempurnakan ibadat sembahyang sesuai sebagai kedudukannya tiang agama. Sabda Rasulullah SAW: "Solatlah secara berdiri, jika kamu tidak mampu lakukanlah secara duduk, dan jika kamu tidak mampu juga, maka lakukan secara mengiring. (Hadis riwayat Bukhari: 1066).

Selalulah berfikiran positif dan baik sangka terhadap Allah. Lakukan perintah Allah dengan semangat bahawa ia perkara mudah dan memberi kebaikan kepada pelakunya bukan sahaja di akhirat, bahkan di dunia ini. Setiap perkara yang disyariatkan adalah untuk manusia mendapat kebaikannya. Manakala, jika melakukan perkara yang ditegah pastinya memberi kesan yang buruk kepada pelaku dan masyarakat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (ke arah mendapatkan) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Imran, ayat 133)

Segala ketaatan terhadap perintah Allah SWT itu perlu dilakukan sepanjang masa. Sebab itu, ia berkait rapat dengan kefahaman bahawa kehidupan ini hanya bermatlamatkan untuk mencari keredaan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment