Thursday 20 May 2021

Bilangan kes baharu Covid-19 Malaysia paling tinggi di dunia

Kepada rakyat Malaysia, jangan pandang mudah isu Covid-19. Ikut SOP. Jangan anggap perkara ini mainan politik. Ini isu nyawa. Sayangi diri sendiri dan ahli keluarga.

Angka semata-mata tidak menunjukkan sesuatu tahap. Ada ‘kira-kira’ lain yang perlu diambil kira.

Contohnya dalam soal ancaman Covid-19. Kita tidak boleh bandingkan ancaman Covid-19 mengikut negara hanya berdasarkan kepada jumlah jangkitan pada sela masa atau tempoh tertentu, seperti hari atau minggu.

Sebaliknya, untuk tujuan perbandingan, elok menggunakan peratusan mengikut penduduk.

Contohnya untuk perbandingan antara negara di seluruh dunia jumlah baharu jangkitan pada 20 Mei 2021. Pada tarikh tersebut jumlah kes baharu di India ialah 259,269 kes. Manakala di Malaysia kes baharu pada tarikh sama adalah 6806 kes.

Kalau mengikut jumlah tersebut, tentu sekali kita dapat rumuskan bahawa apa yang berlaku di India lebih teruk berbanding di Malaysia. Amat jauh beza bilangan kes.

Namun, perbandingan bilangan kes semata-mata tidak adil. Jumlah rakyat India jauh lebih ramai berbanding Malaysia. Jumlah penduduk India dianggarkan kira-kira 1.3 bilion, berbanding Malaysia hanya 32 juta.

Ini bermakna jumlah penduduk Malaysia hanya 2.4 peratus daripada jumlah penduduk India. Amat kecil bilangan penduduk Malaysia berbanding penduduk India.

Maka, dalam membuat perbandingan kes baharu Covid-19, elok ia berasaskan kepada bilangan bagi setiap 1 juta penduduk.

Cuba lihat gambar untuk mengetahui jumlah jangkitan pada 20 Mei 2021 berdasarkan kepada 1 juta penduduk. Betapa seriusnya jumlah baharu jangkitan pada tarikh tersebut.

Pada tarikh tersebut, kadar di Malaysia lebih tinggi berbanding India yang dianggap sebelum ini paling teruk. Kadar di Malaysia adalah 10 kali lebih teruk berbanding Indonesia.

No comments:

Post a Comment