Monday, 20 December 2021

Sebab PAS lebih berminat tawaran PN

 
Matlamat berparti adalah untuk mendapat kuasa. Dalam sistem pemerintahan di Malaysia, kuasa akan diperoleh melalui kerusi yang diperoleh melalui pilihan raya.

Ada dua peringkat pilihan raya di Malaysia iaitu kerusi kawasan Perlimen dan kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mana-mana individu atau parti yang berjaya mendapat sokongan bilangan kerusi melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan akan diberi kuasa pemerintahan.

Kerusi Parlimen diperlukan untuk memerintah Malaysia sedangkan kerusi Dewan Undangan Negeri untuk menguasai negeri.

Jika ia melibatkan beberapa buah parti, maka parti yang mendapat lebih banyak kerusi akan menjadi dominan atau lebih berkuasa.

Kalaupun tidak mendapat kerusi terbanyak, jumlah banyak yang dimiliki akan memberi kuasa lebih dan kedudukan lebih kukuh dalam gabungan.

Sebenarnya inilah sebab mengapa Parti Islam SeMalaysia (Pas) menolak kerja sama bersendirian dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana tidak mahu UMNO berada dalam keadaan dominan.

Pas beriya benar agar gabungan mesti disertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kononnya atas dasar memperkuatkan kedudukan Islam dan Melayu.

Hakikatnya Pas mahu lebih kerusi. Kalau tidak mendapat banyak kerusi, biar UMNO pun tidak mendapat banyak kerusi kerana perlu diberikan kepada PPBM.

Itulah strategi Pas dalam menentukan gabungan yang perlu disertai dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum PRU Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pas memilih bergabung dengan PPBM kerana mendapat jumlah lebih banyak. Contohnya, Pas menolak tawaran UMNO Johor untuk parti itu meletakkan calon di empat kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU-15 nanti.

Sedangkan Perikanan Nasional (PN) menawarkan Pas bertanding di 15 kerusi. Jadi, dalam hal ini tentu sekali Pas lebih tertarik dengan tawaran PN.

Memandangkan Pas menolak tawaran tersebut (bertanding di empat kerusi DUN) UMNO Johor telah putuskan bergerak solo tanpa Pas pada PRU-15 nanti.

Wednesday, 8 December 2021

JUAL KELADI HIASAN UNTUK BAYAR SAMAN TRAFIK

Saman kesalahan lalu lintas mesti dibayar. Tidak kisahlah apa sahaja jenis kesalahan yang dilakukan. Bayar tetap kena bayar.

Dalam kes saman tertentu, boleh ditangguhkan masa pembayarannya.

Namun, ada jenis saman yang jika tidak dijelaskan, akan dikenakan tindakan tidak boleh diperbaharui cukai jalan. Jadi, tidak dapat tidak kenalah bayar sebelum memperbaharui cukai jalan kenderaan berkenaan.

Biasanya pihak penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menawarkan diskaun atau potongan jumlah yang perlu dibayar sempena hari tertentu.

Jumlah potongan yang diberikan agak tinggi juga. Ada yang sehingga 80 peratus daripada jumlah asal.

Tawaran seumpama ini pastinya mendapat sambutan. Namun, tidak semua orang dapat merebut peluang ini. Kalau tidak ada wang untuk bayar, tidak kisahlah berapa potongan yang diberikan kerajaan, memang tetap tidak dapat membayarnya.

Kalau masih ingin merebut peluang tersebut, kenalah lakukan sesuatu untuk mendapatkan wang yang diperlukan untuk membayar saman trafik tersebut.

Inilah yang dilakukan peminat keladi hiasan apabila terpaksa membuat tawaran melepaskan atau menjual pokok keladi hiasan yang dimilikinya. 

Niat untuk dijadikan benih dan ditambah bilangan terpaksa dilupakan. Walaupun jika ditambah biak tentu mendapat untung lebih besar.

Friday, 3 December 2021

SOTONG PALING TINGGI DICEMARI KADMIUM

 
Makanan laut sememangnya digemari ramai. Sama ada kering mahupun basah, ia pasti menjanjikan sajian digemari ramai. Sotong dan udang kering, begitu juga ikan bilis merupakan hidangan atau bahan masakan popular bagi hampir semua etnik di Malaysia.

Pun perlu diingatkan, mengikut kajian, kebanyakan sotong kering yang dijual di pasaran dicemari kandungan kadmium yang tinggi hingga boleh menyebabkan kanser payu dara dan prostat.

Selain sotong kering, tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium namun jumlahnya lebih rendah. 

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia selalu membuat ujian kajian kadmium terhadap makanan laut, terutama yang dikeringkan.

Tahukah anda bahawa semua ini disebabkan pencemaran laut yang turut memberi kesan buruk secara global.

Sebenarnya, masih ramai yang tidak tahu bahawa makanan yang menjadi kegemaran mereka selama ini dapat mengancam nyawa.

Kehadiran kadmium dalam sotong kering bukan disebabkan kaedah pengawetan. Sebaliknya, sotong yang tinggal di persekitaran tercemar mengumpul kadmium di dalam badannya.

Tanpa disedari, hakikatnya kita telah menghadam banyak sisa toksik dan racun di dalam badan apabila menjamah pelbagai jenis hidupan laut yang tercemar.

Pembuang sampah sarap, sisa industri dan minyak dikenal pasti sebagai angkara utama manusia yang mengganggu dan seterusnya membunuh habitat serta hidupan marin.

Perbuatan manusia mencemarkan laut mengundang kemudaratan kepada kehidupan manusia sendiri. Hidupan laut yang tercemar sememangnya mengandungi kadmium, tidak terkecuali sotong.

Ini bermakna kandungan kadmium sudah wujud dalam sotong basah ketika ia hidup lagi di habitatnya lagi.

Bagi mengelakkan kesan berpanjangan, pengguna dinasihatkan supaya mengambil bahan makanan tersebut dalam kuantiti yang kecil atau lebih baik mengelak daripada memakannya.

Kadmium merupakan sejenis logam berat yang berbahaya kerana elemen ini berisiko tinggi terhadap pembuluh darah.

Ia memberi kesan terhadap kesihatan manusia untuk jangka masa panjang khususnya hati dan ginjal.

Kesan pengambilan logam toksik yang berlebihan ini boleh mendedahkan seseorang kepada kanser payu dara, kanser prostat serta penyakit buah pinggang.

Kesan jangka pendek pula boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, berpeluh berlebihan, otot menggigil dan keresahan.

Kajian rambang perlu dilakukan bagi mengesahkan kuantiti kandungan kadmium di dalam makanan yang telah diawet kerana dikhuatiri melebihi had yang dibenarkan.

Kementerian Kesihatan boleh mengambil tindakan ke atas pihak yang menjual makanan laut mengandungi paras kadmium melebihi had ditetapkan.  

Di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 paras kadmium yang dibenarkan dalam makanan laut tidak melebihi 1.00 bahagian persejuta (ppm) atau miligram/kilogram.

Jika disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sunday, 28 November 2021

BILA MASA BUAH DURIAN SELAT PERLU DIPETIK

 
Setiap jenis pokok ada ciri-ciri berbeza dalam pelbagai aspek. Maklumlah, nama dan jenisnya pun berbeza. Salah satu ciri perbezaan ialah cara memetik buah.

Buah durian selat atau juga dikenali buah durian belanda adalah jenis buah yang perlu dipetik dari pokok. Ia berbeza dengan buah durian yang perlu ditunggu ia gugur sendiri.

Buah durian selat yang telah matang perlu dipetik atau dikait ketika isinya masih keras. Ini bagi mengelak ia rosak ketika jatuh ke tanah, kalau yang dikait atau dijolok menggunakan galah.

Buah yang telah matang jika tidak dipetik akan terus melekat di tangkai sehingga menjadi ranum atau lebu, atau dipanggil juga lohu. Ketika itu isi buah telah menjadi lembik.

Buah yang telah lebu akan menjadi sasaran binatang seperti kelawar, burung, monyet dan serangga lain.

Buah durian selat yang terlalu lebu sudah tidak sedap dimakan. Keadaannya lembik dan sudah berair.

Jika terus dibiarkan, buah akan gugur dengan sendiri ketika sebahagian buahnya telah rosak. Sebenarnya buah durian selat termasuk dalam kategori sukar gugur dalam keadaan buah masih elok.

Justeru, sesiapa yang ada memiliki pokok durian selat, rajin-rajinkan diri untuk melihat buah yang telah matang untuk diambil.

Buah dianggap telah matang jika dilihat kulitnya telah ‘tegang penuh’ dan duri lembut telah semakin kurang.

Tuesday, 23 November 2021

SUKAN TEKWANDO BINA SAHSIAH DIRI UNGGUL

 
Sifat sukan yang universal membolehkan aktiviti dilakukan secara terbuka dan masing-masing mempunyai matlamat ke arah positif seperti untuk mencipta kejayaan, riadah, persaudaraan dan semangat berpasukan.

Sukan diakui sebagai satu kaedah membentuk hubungan baik anggota masyarakat tanpa mengira kedudukan, umur dan kekayaan.

Menyertai aktiviti sukan menjadikan seseorang lebih cemerlang dalam hidupnya dan menikmati hidup lebih bermakna.

Kegiatan seni mempertahankan diri boleh membina sahsiah diri yang melibatkan ketahanan fizikal mahupun mental.  Kegiatan itu amat sesuai untuk golongan muda yang sedang mencari jati diri dan aktiviti yang mendatangkan manfaat.

Tidak benar ada dakwaan mengatakan seni mempertahankan diri seperti tekwando menyebabkan pelajar dan golongan muda menjadi agrasif hingga menimbulkan masalah disiplin kerana pada hakikatnya apa yang sebenarnya adalah sebaliknya.

Seni mempertahankan diri mengajar dan mendedahkan pesertanya kepada amalan menghormati rakan dan lawan yang mengutamakan nilai-nilai murni seperti sabar, tolong menolong, ihsan kepada yang lemah dan mematuhi peraturan.

Seni mempertahankan diri mendedahkan peserta kepada teknik yang betul dan berkesan untuk mempertahankan diri ketika berlaku sesuatu tidak diingini.

Kemahiran mempertahankan diri amat penting dikuasai terutamanya di kalangan anak gadis sebagai siapsiaga menghadapi sesuatu ancaman seperti rogol, ragut dan gangguan seksual.

Sokongan dan penyertaan individu, sekolah, kelab serta badan-badan lain dalam menjayakan sukan tekwando akan menyemarakkan perkembangan sukan ini, khususnya untuk melahirkan jaguh yang mampu mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Monday, 8 November 2021

SIPUT GONDANG EMAS HALAL DIMAKAN

 
Secara umumnya semua jenis siput yang hanya hidup di dalam air halal dimakan selagi ia tidak memabukkan atau beracun. Itu pandangan Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal). Beliau salah seorang ulama yang terkenal di Nusantara.

Namun, ulama Alam Melayu berbeza pandangan tentang hukum makan siput gondang. 

Menurut Syeikh Arsyad al-Banjari, siput gondang haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang hidup dua alam. Hal ini kerana ia boleh hidup kekal di darat.

Adapun menurut Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak termasuk dalam kategori binatang yang boleh hidup dua alam.

Hal ini kerana, menurut Syeikh Ahmad al-Fatani, ketentuan haiwan hidup dua alam yang haram dimakan ialah haiwan yang hidup di dalam air dan di atas darat serta ia pandai mencari makanan di air dan di darat.

Oleh itu, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak pandai mencari makanan di atas darat sepertimana ia mencari makanan di dalam air. 

Walaupun siput gondang ini boleh hidup lama di darat, namun hal ini adalah disebabkan ada basahan dan cecair di dalam kulitnya. Justeru, apabila siput gondang ini diterbalikkan ke atas, nescaya ia akan cepat mati.

Bahkan, siput gondang ini juga mampu hidup di dalam tanah dalam tempoh masa yang lama sehingga tanah tersebut kembali berair sebelum ia keluar semula.

Namun, keadaan hidupnya di dalam tanah tersebut hanya sebagai harakat mazbuh  (berkeadaan lemah dan seolah-olah sudah mati, iaitu tiada lagi padanya suara, penglihatan dan pergerakan mengikut kehendaknya) sahaja.

Inilah pandangan Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah mengikut fatwa beberapa ulama besar di Mesir seperti Syeikh Abdul Hadi al-Anbar al-Misri kerana dikiaskan dengan halal memakan kerang. Sedangkan Syeikh al-Ramli telah memfatwakan secara jelas tentang keharusan memakan kerang.

Selain itu, dikiaskan juga dengan halal memakan sejenis siput yang terdapat di negara Mesir yang menyerupai siput gondang, namun saiznya kecil sedikit.

Begitu juga halal memakan siput yang bersaiz lebih kecil daripada gondang serta mempunyai rupa bentuk dan tabiat sepertimana siput gondang ini. 

Makan siput gondang emas ada kebaikannya. Ia kaya khasiat. Selain itu dengan makan siput gondang dapat mengurangkan populasinya.

Siput gondang emas adalah haiwan perosak utama bagi tanaman padi. Memang sukar untuk menghapuskan siput gondang emas disebabkan kadar pembiakannya amat tinggi. 

Siput ini boleh bertelur sehingga 8,000 biji telur setahun. Lebih daripada 90% telur yang dihasilkan akan menetas dan membesar dengan kadar cepat. Siput gondang boleh hidup lebih daripada 3 tahun.

Kerugian ditanggung oleh petani jika tiada kawalan dilaksanakan terhadap serangan siput gondang emas boleh mencecah RM5,400 sehektar jika terdapat lima ekor siput gondang emas dalam satu meter persegi.

Walaupun siput gondang emas tergolong binatang perosak, ia boleh dimanfaatkan dan secara tidak langsung juga dapat mengurangkan populasinya.

Bagi haiwan, seperti itik yang dibela di dalam sawah untuk mengawal populasi siput gondang emas mampu untuk bertelur dengan lebih kerap. Selain itu, itik yang memakan siput gondang emas terhindar daripada mengalami masalah pinggang lembik dan patah pinggang.

Bagi golongan lelaki yang mengalami masalah tenaga batin dan lesu, siput ini mampu menguatkan tenaga batin orang lelaki dan kebiasaannya siput ini disediakan dalam masakan gulai kuning.

Telur gondang dikatakan dapat melebatkan rambut, cepat memanjangkan rambut dan juga menghitamkan rambut. Caranya telur ini diramas dengan tangan dan terus dilumurkan atas kepala dan biarkan lebih kurang setengah jam sebelum dicuci bersih. Diamalkan setiap hari sehingga nampak keberkesanannya. 

Juga dikatakan mujarab bagi sakit buasir, caranya telur ini dipanaskan dengan minyak kelapa dan dibiarkan sejuk. Lepas itu minyak yang telah diproses telur gondang tadi dilumur pada ibu jari. Gunakan ibu jari tadi untuk menekan buasir sehingga masuk.

Sebenarnya siput gondang ada penggemarnya. Biasanya ia dimasak gulai kuning. Isinya dicungkil atau disedut untuk mendapatkan isinya. Isi siput gondang agak kenyal, tetapi sedap.

Isi siput gondang kaya dengan kandungan mineral seperti kalsium, fosforus dan magnesium, selain sebagai sumber protin.


Tuesday, 26 October 2021

MANGGA TELUR CEPAT BERBUAH

 
Mangga telur antara jenis pokok mangga yang banyak ditanam di kawasan rumah. Ia cepat berbuah. Nama botaninya Mangifera indica. Anak dari biji benih boleh menghasilkan buah selepas 2 tahun.

Pokoknya rendah dan lebat buahnya. Pokok boleh dicantas selalu untuk memudahkan penuaian hasil. Mudah tumbuh dan tahan penyakit. Boleh ditanam di kawasan yang ditenggelami air banjir.

Buahnya sangat masam ketika muda tetapi manis apabila masak ranum. Buahnya digunakan untuk membuat jeruk, acar, sambal dan pajeri dan dimakan begitu saja.

Bijinya yang tua selalu disemai dan dijadikan pokok penanti dalam proses penghasilan benih pelbagai varieti mangga yang lain.

Mangga telur juga dipanggil buah pauh ringan. Itu nama bagi buah tersebut di Kelantan. Mengapa dinamakan buah pauh ringan? Adakah di tempat lain dipanggil buah mempelam ringan?

Dalam dialek Kelantan, perkataan ringan membawa berberapa maksud. Pertamanya ialah tidak berat. Itu sama dengan maksud di tempat lain. Maksud kedua ialah cepat dan ketiganya mudah.

Memandangkan pauh tersebut cepat berbuah, maka ia dipanggil pauh ringan.

Sunday, 17 October 2021

SEJARAH KELANTAN FM

 
Kelantan FM merupakan stesen RTM pertama di Malaysia yang mempelopori siaran daerah. Slogannya ialah Penuhi Cita Rasa Anda. Ia dikendalikan oleh Jabatan Penyiaran Kelantan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan. 

Siarannya boleh didengari di seluruh negeri Kelantan dan juga kawasan sempadan seperti Jerteh di Terengganu dan Lipis di Pahang dan Golok di Selatan Negara Thai.

Sejarahnya bermula pada 16 November 1963, di mana Radio Malaysia Kota Bharu mula beroperasi. Perasmian pembukaan pula dilakukan pada 6 November 1964 oleh Al-Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim Petra.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abd. Razak, Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia dan juga Menteri Besar Kelantan, Muhammad Asri.

Lokasinyat terletak kira-kira 6 kilometer (km) dari pusat bandar Kota Bharu. Keluasan tapak stesen kira-kira 5 hektar, terdiri dari bangunan pejabat, studio, pemancar dan padang aerial. 

Antara kemudahan yang ada ialah bilik pusat kawalan, studio ceramah, studio suntingan, auditorium dan bilik hubungan Kelantan fm. 

Siaran daerah pada masa itu disiarkan hanya beberapa jam sahaja sehari dan mendapat sambutan segenap lapisan masyarakat.

Pada awal penubuhannya, Radio Malaysia Kota Bharu merupakan stesen permulaan memulakan siaran daerah kawasan timur berbanding dengan negeri-negeri lain dan berita daerah disampaikan dalam loghat Kelantan.

Kakitangan awal radio ini hanyalah seramai 66 orang iaitu dari bahagian teknikal dan rancangan. Pada awal penubuhannya, stesen ini merupakan ibu pejabat bagi kawasan timur sehinggalah pada tahun 1972.

Pada tahun 1972, fungsinya sebagai ibu pejabat telah dipindahkan ke Stesen Radio Televisyen Malaysia Kuala Terengganu yang baru siap dibina. Dengan perpindahan ini maka RTM Kota Bharu menjadi stesen siaran tempatan.

Siaran tempatan bermula jam 5.15 petang hingga 6.15 petang. Mulai 1 September 1980 masa siaran tempatan ditambah selama 30 minit lagi untuk siaran sebelah pagi dari jam 8.30 hingga 9.00 pagi.

Apabila waktu Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselaraskan pada 1 Januari 1982. waktu siaran tempatan juga diubah kepada mulai jam 8.35 pagi hingga 9.00 pagi manakala siaran sebelah petang pada jam 5.45 petang hingga 6.45 petang.

Masa siaran tempatan turut diubah pada tahun 1986 apabila siaran tempatan dikenali RMKB yang bermula jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi setiap hari manakala pada tahun 1988 siaran tempatan sebelah petang dimulakan dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang.

Pada tahun 1993, RTM telah mengubah polisinya daripada tiga siaran iaitu siaran kebangsaan, daerah dan tempatan kepada siaran kebangsaan dan negeri.

Sehubungan dengan itu, nama stesen telah ditukar kepada Radio 3 Kota Bharu. Radio Malaysia Kota Bharu juga menyumbang beberapa rancangan peringkat nasional seperti rancangan Dikir Barat, Segar dan Mengharum, Pilihanku tetapi diambil alih stesen Kuala Terengganu beberapa tahun kemudian yang dikenali nama rancangan Timur 11.30.

RTM Kota Bharu juga menyumbang rancangan peringkat siaran daerah kawasan timur seperti, Dalam kenangan, Dikir Barat, Hanya Untukmu Puan berbentuk kapsul, Permintaan Dariku Untukmu sebuah rancangan bersama RTM Kuala Terengganu dan Kuantan dan banyak lagi.

Bermulanya selama 8 jam sehari dan seterusnya 18 jam sehari bermula dari 06:00 hingga 00:00.pagi. Pada tahun 1996, nama Radio 3 Kota Bharu telah ditukar kepada Radio Malaysia Kelantan (RMK) selari dengan penyusunan semula stesen radio negeri-negeri di seluruh negara.

RMK boleh diterima siarannya melalui FM stereo dan Gelombang Sederhana di negeri Kelantan, Hulu Terengganu dan Selatan Thailand.

Pada 1 April 2005, sempena Penjenamaan Semula Radio Malaysia nama Radio Malaysia Kelantan ditukar kepada Kelantan fm.

Pada 17 Jun 2005, sempena Perasmian Pelancaran Penjenamaan semula Radio Malaysia Kelantan kepada Kelantan, Menteri Penerangan, Datuk Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir mengumumankan siaran Kelantan fm dilanjutkan dari 18 jam kepada 24 jam mulai 1 Ogos 2005.

Tuesday, 12 October 2021

KALAU TIDAK SUKA, TINGGALKAN SAHAJA

 
Kalau sudah tidak suka, tinggalkan saja. Tidak perlu cerita perkara buruk tentang bekas parti pernah disertai. Kalau cerita yang buruk, maksudnya menceritakan buruk diri sendiri. Mengapa dulu terlalu sayangkan yang buruk itu?

Sudah banyak kali orang kecewa akan tinggalkan parti. Ada juga yang dibuang oleh parti. Mereka tubuh parti baru. Itu hak dan kebebasan dalam negara demokrasi.

Katalah apa yang ingin dikatakan. Parti baru itu bukan serpihan atau bukan kerana kecewa ia ditubuhkan. Itu pendapat dan keyakinan masing-masing.

Asalkan jangan duduk buat fitnah dan ganggu orang lain. Itu hak dalam negara demokrasi untuk mengatakan baik tentang diri sendiri. 

Sama ada parti politik baharu yang diwujudkan untuk mengisi kekosongan atau kepentingan peribadi, itu tidak penting. Tubuhlah sebanyak mana parti yang diingini. Kerajaan tidak sekat selagi ia memenuhi syarat yang ditetapkan.

Memang parti baharu mempunyai visi yang berlainan. Jika sama dengan yang dulu, tentu sekali tidak akan wujud parti baharu. 

Rakyat dan penyokong parti akan membuat penilaian. Rakyat tidak dikongkong atau dihalang daripada menyertai mana-mana parti. Rakyat sudah matang dan dapat membuat pilihan sendiri parti mana ingin disokong.

Namun, satu perkara diingatkan, jangan jual maruah bangsa, agama dan negara semata-mata untuk berkuasa. Perbautan itu adalah petualang dan musuh negara.

Buatlah apa saja yang difikirkan betul. Pada anda betul, tetapi pada pihak lain tidak betul. Itulah perbezaan pendapat. Beza pendapat jangan sampai wujud perpecahan hingga merugi agama bangsa.

Islam perlu kuat. Islam menyediakan cara hidup dan bernegara yang benar. Tetapi, jika kita hanya mementingkan diri dan kelompok, banyak perkara ditegah oleh agama dilakukan.

Islam suruh bersatu, tetapi mengapa perbalahan pula dilakukan. Islam menyuruh istiqamah, tetapi ramai yang mudah mengaku kalah dan kecewa.

Kalau gagal, jangan salahkan orang lain. Muhasabah diri dan fikirkan kembali untuk berjaya. Sekali kalah, bukan kalah selama-lamanya. Perjuangan yang benar perlu diteruskan. Jangan mudah kecewa dan merajuk.

Mengapa demi bekerjasama dengan bukan Islam, kita tinggalkan perjuangan bersama-sama rakan seagama. Mengapa kita lebih sayangkan sahabat berlainan agama berbanding saudara seagama. 

Mengapa kita lebih percaya dan tertarik dengan janji musuh berbanding kekal setia dengan sahabat yang telah lama banyak membantu.

Gambar papan peringatan di Pantai Cahaya Bulan agar menutup aurat. Sekadar hiasan.

Saturday, 9 October 2021

JETI BOT KUALA BESAR

 
Di muara Sungai Kelantan atau delta Sungai Kelantan terdapat banyak pulau yang dihuni penduduk. Antara pulau berpenghuni ialah Pulau Renjuna, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Pantai Nik Mat, Pulau Dolah, Pulau Aur dan beberapa pulau kecil lain.

Kesemua kawasan pulau tersebut tidak terdapat jambatan menghubunginya dengan tanah besar sama ada dataran di sebelah jajahan Kota Bharu, ataupun jajahan Tumpat.

Satu-satunya pengakutan ke pulau-pulau berkenaan ialah menggunakan pengakutan air atau bot.

Terdapat dua jeti bot yang digunakan iaitu Jeti Kuala Besar dan Jeti Kok Majid. Jeti Kuala Besar berada di sebelah jajahan Kota Bharu, dan Jeti Kok Majid pula di sebelah jajahan Tumpat.

Mereka yang berkenderaan ingin ke kawasan pulau akan meletakkan kenderaan di Jeti Kuala Besar atau Jeti Kok Majid dan seterusnya menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan.

Bot berkenaan akan singgah di jeti-jeti yang terdapat di pulau-pulau berkenaan untuk mengambil atau menurunkan penumpang.

Wednesday, 6 October 2021

AMAL KERJASAMA RENTAS PARTI


UMNO telah lama mengamalkan dasar rentas politik iaitu melalui Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya mentadbir negara selama 60 tahun lebih dalam keadaan aman dan harmoni.

Sejarah awal menerusi MCA dan MIC melalui Perikatan dan kemudiannya bersama rakan-rakan lain di dalam BN telah berjaya meletakkan negara dan rakyat negara ini dalam satu keadaan yang cukup baik malah parti yang cauvinis memasuki BN, mereka faham serta mengamalkan asas kerjasama rentas kaum, rentas agama dan budaya.

Jadi tidak timbul UMNO tidak boleh bekerjasama dengan sesiapa. Sebenarnya hanya memilih dengan siapa hendak bekerjasama. Ini penting bagi memastikan kerjasama itu membawa kepada kebaikan kepada parti dan orang Melayu.

UMNO mesti bekerjasama dengan parti yang boleh memberi kekuatan kepadanya dan bukan nak bagi UMNO dikerjakan oleh orang dengan parti-parti lain.

Kerjasama dengan dikerjakan dua perkara yang berlainan. Apapun bentuk kerjasama jangan sampai dikerjakan.

Kalau kena dikerjakan, apa guna berkerjasama. Berkerjasama bermakna saling memberi manfaat. Mesti bekerjasama dengan parti yang boleh menambah nilai.

UMNO mesti bekerjasama atau pun mengadakan persefahaman dengan parti yang boleh menambah kekuatan. Ini asas yang dibuat semasa dalam BN dahulu, Perikatan dahulu. Jadi tidak timbul UMNO tidak boleh bekerja dengan sesiapa.

Maka tidak timbul orang kata UMNO parti yang rasis Melayu sahaja. Bagaimana kerjasama dalam Parti Perikatan dan diteruskan dalam Barisan Nasional, itulah juga UMNO sekarang yang tidak rasis Melayu.

UMNO yang memperkenalkan dan memperkasakan politik parti. Sanggup berkongsi kuasa dan bertolakansur dengan parti lain.

Parti yang cauvinis dulu pun masuk dalam BN mereka faham dan mereka mengamalkan asas kerjasama rentas kaum, rentas agama dan budaya.

Pemilihan rakan kerjasama cukup penting kerana pengakhiran cerita politik adalah menubuhkan kerajaan dan seterusnya menguruskan negara dan rakyat.

Langkah itu juga akan menentukan kuat atau tidak sesebuah kerajaan yang akan ditubuhkan kelak kerana sepertimana yang ditekankan sebelum ini pengakhiran politik adalah untuk menubuhkan sesebuah kerajaan.

Gambar: Muara Sungai Kelantan. Sekadar hiasan.

Friday, 1 October 2021

CARA MEMBUAT BAJA IKAN

 
Baja ikan atau Fish Amino Asid (FAA) adalah sejenis baja yang dihasilkan daripada ikan yang dikompos atau diproses menjadi baja. Sejarah penggunaan baja ikan secara ‘moden’ telah diperkenalkan di Korea pada sekitar 1970-an. Kaedah itu kemudian tersebar di seluruh dunia.

Sebenarnya penggunaan ikan menjadi baja telah lama diamalkan dalam masyarakat kampung, tetapi secara tradisiona. Air basuhan siang ikan dan bahagian ikan yang tidak diperlukan seperti perut dan insang akan dicurahkan ke pangkal pokok yang menjadi sebagai baja.

Secara asasnya, untuk membuat baja ikan memerlukan keseluruhan bahagian ikan. Biasanya ikan yang tidak habis dijual dan hampir busuk akan diambil untuk dijadikan baja.

Namun, untuk mendapat percuma, carilah bahagian ikan yang tidak diperlukan seperti isi perut, kepala dan insang. Dapatkan dari restoran, dapur asrama, pengusaha pemprosesan makanan menggunakan ikan dan sebagainya. Hasilnya tidak sebaik menggunakan bahagian ikan sepenuhnya.

Cara membuat baja ikan:
- Ikan dicincang.
- Masukkan ke dalam baldi atau bekas plastik.
- Masukkan gula melaka dengan nisbah  1: 1
- Kacau rata bahan tersebut.
- Tutup baldi dengan kain kasa.
- Selang 3-4 hari kacau bahan peraman agar proses penapaian berlaku dengan lebih pantas.
- Sekali sekala akan kelihatan buih muncul tanda mikrob sedang menjalankan tugas mereka.
- Peram selama 10 hari.
- Jika ada lapisan lemak selepas 10 hari, boleh bubuh 1-2 sudu makan mikrob baik.
- Tapis untuk mendapatkan air baja ikan.
- Simpan gelap dan dingin.
- Baja ini boleh bertahan 6-12 bulan.

Penggunaan:
- Campurkan satu sudu makan baja ikan ini dicampurkan dengan 2L air.
- Sembur pada daun, batang dan pangkal pokok.
- Boleh juga siram keliling pangkal pokok.

FAA kaya dengan nitrogen N merupakan baja yang bagus untuk siraman atau semburan foliar untuk mempertingkatkan pertumbuhan semasa fasa pertumbuhan (vegetatif) dan sesuai digabungkan dengan baja cecair lain.

Untuk sayuran berdaun, menggunakan FAA secara berterusan (semburan seminggu sekali) akan meningkatkan hasil dan memberi rasa sayur yang enak dan beraroma.

Disebabkan FAA kaya dengan unsur N, maka tidak digalakan sembur atau siram FAA semasa pokok masuk fasa pembungaan kerana akan mengurangkan putik bunga muncul dan hanya pucuk serta daun sahaja keluar.

FAA ini mengandungi minyak ikan hasil fermentasi yang mengeluarkan bau agak ketara. Ini merupakan penghalau terhadap sesetengah serangga seperti hamama, lalat putih, afid, bena dan koya.

Saturday, 25 September 2021

SEJARAH HUBUNGAN PATTANI DENGAN KETURUNAN DI MALAYSIA

 
Hubungan Pattani (Selatan Thai) dengan negeri-negeri di Malaysia memang rapat berdasarkan kepada sejarah lalu. Majoriti penduduk di Selatan Thai berbangsa Melayu beragama Islam.

Banyak persamaan antara penduduk di Pattani dengan Malaysia. Bagi orang Kelantan khususnya, dialek orang Islam Thailand di Selatan Thai tidak banyak berbeza.

Banyak orang Kelantan berulang alik ke Selatan Thai. Mereka mempunyai pertalian persaudaraan yang rapat. Ada rakyat Kelantan apabila mati, mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan di kampung halaman di Selatan Thai.

Jadi, tidak hairan jika banyak penduduk Selatan Thai mengambil kesempatan untuk mencari rezeki di Kelantan. Mereka menumpang atau mendapat pertolongan sanak saudara rakyat Malaysia untuk bekerja di Kelantan dan tempat-tempat lain Malaysia.

Paling ketara banyak rakyat dari Selatan Thai terlibat dalam perkhidmatan penyediaan makanan di restoran dan kedai makan. Sebab itu, banyak makanan dan menu dari Selatan Thai terkenal di Kelantan.

Perlu dijelaskan, dikir barat yang terkenal di Kelantan, berasal dari Selatan Thai. Orang Kelantan menyebut atau memanggil Selatan Thai sebagai ‘Barat’.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sejak dulu lagi, hubungan pemerintah dan penduduk Selatan Thai dengan pemerintah dan rakyat Malaysia telah lama terjalin.

Di Kelantan umpamanya terdapat makam Raja Perempuan Pattani terakhir iaitu Ratu Kuning atau Nan Cayang yang menduduki takhta Pattani (wilayah selatan Thai) pada tahun 1636-1651.

Makam tersebut terletak di Panchor, Pengkalan Chepa. Manakala Terengganu, khususnya Besut menempatkan kerabat-kerabat diraja Pattani yang melarikan diri ekoran kejatuhan Pattani kepada Siam pada tahun 1785.

Sama seperti Kelantan dan Pahang serta Johor, Terengganu telah menghantar sejumlah tentera membantu Pattani dalam Perang Sabil di Pattani pada tahun 1831 dan dalam perang-perang lain yang membabitkan Pattani dengan Siam.

Pahang pula merupakan negeri ayahanda kepada Ratu Kuning iaitu Sultan Abdul Ghafur Mohaidin Syah. Baginda Sultan Pahang dan suami kepada Ratu Unggu yang telah kembali semula ke Pattani setelah kematian suaminya.

Ratu Unggu menaiki takhta pada tahun 1624 hingga 1636 dengan gelaran Paduka Syah Alam, menggantikan kakaknya, Ratu Biru (1616-1624).

Banyak orang Pahang yang mengiringi kepulangan Ratu Unggu ke Pattani menetap di sana.

Johor pula adalah negeri suami kepada Ratu Kuning yang telah berkahwin dengan Yamtuan Muda Johor (Sultan Abdul Jalil) selepas bondanya memisahkan daripada suami pertamamya bernama Tengku Muhammad, anak Raja Ligor yang lebih dikenali dengan Okya Deca yang proSiam.

Tuesday, 14 September 2021

TRAGEDI SERANG HENDAP KOMUNIS DI ULU LEGONG

 
Tragedi Serang Hendap Ulu Legong ini mungkin tidak sepopular kisah Bukit Kepong, tidak juga dikisahkan dalam filem seperti Leftenan Adnan. Tetapi jika disoroti kisah serang hendap ini, ia antara kisah penyeksaan komunis terhadap askar Melayu paling kejam. 

Tragedi serang hendap di Ulu Legong, Kedah sebenarnya merupakan siri keganasan komunis. Kejadian itu melibatkan 9 anggota dari Kompeni Bravo Batalion ke 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpengkalan di Kem Sungai Petani. 

Perancangan serang hendap ni bukan calang-calang kerana ia diketuai oleh bapak segala komunis pada ketika itu iaitu Chin Peng selaku ketua Parti Komunis Malaya.

Titik hitam peristiwa serang hendap ini berlaku pada tanggal 29 Oktober 1981, 9.45 pagi itu telah dirancangan lama berdasarkan penemuan diari Chin Peng ketika satu serbuan di tempat lain. 

Dalam diari tersebut dicatatkan yang Chin Peng telah kehilangan dua orang kekasihnya dalam dua pertempuran berasingan dengan askar Melayu. Di atas kehilangan dua orang kekasihnya itu, Chin Peng nekad untuk membalas dendam ke atas kumpulan askar Melayu.

Segala perancangan disusun rapi, bukan setakat dua tiga hari, tapi ia memakan masa berbulan-bulan lamanya. Dari situ Chin Peng mengesan pergerakan keluar masuk askar Melayu pada ketika itu; berapa kekuatan anggota dan senjata yang digunakan. 

Kompeni Bravo Batalion 22 RAMD sebenarnya merupakan satu pasukan baharu yang ditugaskan mengawasi di Kampung Lalang dan sekitar, jadi Chin Peng menyangkakan kumpulan inilah yang telah menyerang mereka walhal serangan itu dilancarkan oleh kompeni sebelumnya.

Pada hari kejadian, ketika serang hendap berlaku, Kampeni Bravo bergerak dari markas menuju ke Kampung Lalang pada sekitar jam 9.45 pagi. Kumpulan itu dalam penugasan mengambil bekalan makanan di Kampung Lalang, kira-kira empat kilometer dari kem. 

Memandangkan ia hanya tugasan biasa dan mereka langsung tidak menjangkakan akan berlakunya serangan komunis. Seramai 9 orang tentera ditugaskan untuk pergi ke Kampung Lalang dengan menaiki trak Volvo Motar berkapasiti 2 tan.

Suasana hutan tebal kiri dan kanan dengan jalan sempit menghubungkan satu kawasan ke kawasan yang lain. 

Salah satu faktor yang menyebabkan Ulu Legong ini dipilih sebagai tempat persembunyian pengganas komunis pada ketika itu adalah kerana faktor kawasan yang berbukit bukau selain faktor geografinya yang bersempedan dengan Thailand. Jadi ia memudahkan pergerakan komunis menyusup keluar masuk.

Hinggalah tiba di satu jambatan, kenderaan yang dinaiki mereka dibedil dengan peluru roket pemusnah kereta kebal (bazooka) dari arah atas kawasan bukit.

Peluru bazooka tadi berdesup terus tepat menghentam enjin hadapan trak Volvo Motar mengakibatkan dentuman kuat dan terus membuatkan askar-askar di dalam trak tercampak.

Akibatnya pemandu trak mati di tempat kejadian manakala yang lain mengalami kecederaan. Anggota yang tercampak keluar segera mencari tempat perlindungan walaupun pada ketika itu berada dalam keadaan cedera parah dengan darah meluap-luap keluar dari tubuh.

Masing-masing mengengsot-ngengsot cuba mencari pokok untuk berselindung, namun malangnya sudah terlewat.

Rupa-rupanya di sekeliling bukit kiri dan kanan sudah pun dipenuhi dengan komunis lengkap bersenjata yang seolah-olah tidak sabar-sabar lagi menunggu detik dan saat untuk membalas dendam. Dianggarkan seramai 43 orang komunis sudah pun bersiap sedia dengan diketuai sendiri oleh Chin Peng.

Melihatkan keadaan askar Melayu yang lemah pada ketika itu, tiada sedikit pun belas kasihan diberikan. Sebaliknya ratusan peluru bertali arus disasarkan ke arah askar yang berselindung di balik pokok dan trak. 

Kurang 15 minit suasana yang bingit dengan bunyi tembakan bertukar menjadi sunyi sepi. Kepulan asap menerawang di udara. Tiada lagi bunyi tembakan balas dari pihak askar Melayu.

Komunis yang bersembunyi di balik bukit mulai turun perlahan-lahan menuju kearah satu persatu mayat yang lengkap berpakaian celoreng. Tak terjangkau dek akal waras manusia melihatkan keadaan tubuh askar Melayu yang diperlakukan sebegitu. Mayat yang sudah tidak bernyawa itu kemudiannya diseksa lagi dan lagi.

Seperti diceritakan dalam buku Serang Hendap Ulu Legong;

Anggota pertama iaitu Prebet Md Merdeka (pemandu trak) Volvo Mortar 2 tan, mayatnya telah dibogelkan dan diikat pada pengelap cermin trak. 

Telinganya pula dipotong dan dijadikan kalung rantai dengan menggunakan tali akar pohon letup-letup. Manakala kemaluannya dipotong dan dimasukkan ke dalam mulut seperti orang sedang menghisap cerut. Kejam!

Mayat kedua, Lans Kopral Hashim (ketua kumpulan), badannya bersarang dengan hampir 25 butir peluru. Ketika diangkat, badannya boleh dilipat dua seakan-akan tidak ada pinggang. 

Kepalanya hancur di sebelah kiri akibat tembakan yang bertubi-tubi. Otaknya berterabur di atas jalan. Kedua-dua matanya dicungkil dan dibuang hilang entah ke mana. Mayatnya juga dibogelkan lalu diletakkan terlentang di atas jalan. 

Kemaluannya juga dikerat dan dua telur kemaluan diletakkan di atas mata kiri dan kanannya. Zalim!

Mayat ketiga iaitu Prebet Jamil TK terperosok di dalam parit yang penuh dengan semak pokok senduduk; terlungkup dan seluarnya dilondehkan. 

Mayatnya disula dengan ranting-ranting pohon senduduk. Kedua-dua belah daging punggungnya hancur dek tembakan bertubi-tubi. Darah masih menitis perlahan-lahan ke tanah ketika jenazahnya diturunkan. Binatang!

Tujuh tentera terkorban dan hanya dua orang yang selamat. 

Susulan kes serang hendap ini nama tentera yang terkorban telah diabadikan di Muzium Tentera, Port Dickson selain nama mereka turut terpahat di Tugu Peringatan, Ulu Legong.

Anggota yang terkorban:
1. Lkpl Hashim b Sulaiman
2. Pbt Rosli b Mat Nayan
3. Pbt Jamil b Mahmud
4. Pbt Jamil b Abd Hamid
5. Pbt Md Mendeka b Ismail
6. Pbt Mazlim b Wasal
7. Pbt Mohd Khambali b Mohd Sodeli

Sumber rujukan tambahan: Buku Serang Hendap Ulu Legong [DBP 2013]

Monday, 6 September 2021

BAHAN MEMBUAT LAICI KANG

 
Menu laici kang semakin menjadi pilihan. Biasanya penggemar laici kang akan menikmatinya di restoran atau kedai makan. Sebenarnya tidak susah hendak sediakan laici kang. 

Apa yang penting mesti ada bahan untuk membuatnya. Bahan membuat laici kang tidak semestinya 'lengkap'. Apa yang penting ialah ada beberapa bahan yang biasa terdapat di dalam menu hidangan laici kang. 

Sekejap! Bagaiamana ejaan sebenar? Laici kang, lin chee kang, laicikang, cikang, cikong atau lai chi kang? Tidak kisah mana ejaan yang betul, asalkan ia difahami.  

Bahan membuat laici kang boleh dibeli berasingan atau yang telah disediakan secara bercampur.

Bahan-bahan:
- Biji Lotus.
- Longan kering.
- Kurma merah.
- Anggur kering.
- Gula batu.
- Biji selasih.
- Cendawan salji / kulat putih.
- Kembang semangkuk
- Buah kundur

Kebaikan atau faedah mengamalkan laici kang:
- Mengatasi masalah badan panas.
- Membantu penghadaman.
- Menambah darah.
- Mengatasi masalah insomnia.
- Meningkatkan kesihatan kulit.

Ciri-ciri lain:
-  Bahan pemakanan yang baik untuk kesihatan.
-  100% asli dengan bahan semulajadi
-  Tiada tambahan pengawet atau pewarna buatan

Cara memasak:
- Bilas semua bahan-bahan atau sekadar menjirus air.
- Masukkan bahan ke dalam periuk atau bekas memasak.
- Tambah 1.5 hingga 2 liter air.
- Masukkan 2 - 3 daun pandan untuk aroma.
- Tambah gula mengikut tahap kemanisan yang diperlukan. 
- Tidak perlu tambah gula jika tidak suka manis atau untuk kesihatan.
- Panaskan sehingga mendidih sehingga 30 minit.
- Siap untuk dihidangkan ketika suam-suam atau sejuk. 
- Boleh ditambahkan ketulan ais. 

KLIK DI SINI
KLIK DI SINI
KLIK DI SINI 

MAKAN BIJI SELASIH TURUNKAN BERAT BADAN

 
Banyak khasiat, kebaikan dan manfaat mengamalkan memakan biji selasihBiji selasih atau dipanggi ‘telur katak’ biasa dicampurkan dalam air minuman. Rasa biji selasih amat sedap apabila dicampurkan dalam apa jua jenis minuman. 

 
Rasa biji selasih unik dan menjadi kegemaran ramai. Biji selasih dimasukkan ke dalam air akan kelihatan seperti telur katak apabila mengembang.

Biji selasih lengkap dengan nutrien berkhasiat untuk diet harian. Biji selasih lengkap dengan nutrien seperti kabohidrat, vitamin, mineral, lemak dan juga fiber. 

Biji selasih boleh dimakan bila masa sahaja tetapi bijinya perlu direndam dalam air. Waktu terbaik untuk mengambilnya ialah sebelum tidur. 
 
Biji selasih berkesan sebagai antibiotik memusnahkan bakteria. Ia membantu menyah toksik dari dalam badan melalui darah.

Pada waktu malam semasa kita tidur, ia bertindak sebagai pencuci mengeluarkan toksin dari darah dan pada esok paginya toksin dikeluarkan. Rasa kembung akan hilang dan anda akan rasa segar semula.

 
Kebaikan biji selasih:

Menurunkan Berat Badan
Biji selasih kaya dengan fiber dan ia akan membuat rasa kenyang. Ini bagus untuk yang ingin mengawal nafsu makan. Tambah biji selasih di dalam minuman. Ia dapat membantu untuk kekal berdiet.

Penghadaman dan Mengatasi Gangguan Pencernaan
Biji selasih sangat baik untuk mengatasi gangguan pencernaan seperti sembelit, kejang perut, kembung perut dan masalah penghadaman. 

Jangkitan Kulit
 Aanak yang mengalami masalah kulit seperti ekzema atau psoriasis boleh lakukan rawatan awal dengan menggunakan biji selasih. Caranya mudah, cuma hancurkan biji selasih dan campurkan bersama minyak kelapa, kemudian sapukan di tempat yang bermasalah.

Rendahkan Suhu Badan
Badan panas akibat cuaca terik. Ambil sahaja air kosong dicampur biji selasih. Anda akan rasa ia perlahan-lahan menyejukkan badan anda.

Menyihatkan Rambut
Kuasa dari sumber protein, vitamin K dan zat besi di dalam biji selasih bagus untuk rambut dan ia membantu untuk menyihatkan rambut dari akar hingga hujung.

Herba Penenang
Biji selasih mampu melegakan sakit kepala, migrain, tekanan dan ketegangan urat. Biji selasih dapat mengatasi kegugupan, rasa bimbang berlebihan dan mudah marah. Biji selasih dapat mengurangkan kegelisahan ataupun susah tidur.

Mengurangkan Cairan Pada Vagina
Bagi wanita, zat cineole dan tannin yang terkandung dalam biji selasih berkhasiat untuk mengurangkan cairan berlebihan pada vagina.

Ubat Sakit Gigi
Ambilah 10 gram biji selasih, rebuslah bersama 4 butir cengkeh dengan air mendidih secukupnya. Lalu minumlah air tersebut semasa hangat-hangat kuku selama masa sakit hingga sembuh betul.

Ramuan Kecantikan
Tumbuk biji selasih hingga halus, campur dengan air panas secukupnya. Adun rata hingga terbentuk pasta. Sejukkan. Gunakan sebagai lulur pada wajah dan leher anda, Lakukan sekali sehari iaitu menjelang mandi petang.