Monday 7 August 2023

PROJEK KORIDOR DEPU KELANTAN

 
Kerajaan Pas Kelantan pernah mengiystiharkan gelaran Kelantan Koridor Depu. Perasmian projek koridor depu dirasmikan oleh KDYMM Raja Perempuan Kelantan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Saadah, Beta Hulu, Kota Bharu sekitar tahun 2007.
 
Serentak pengumuman kerajaan negeri berkaitan projek ladang depu, berpuluh-puluh papan iklan besar telah dipasang di sekitar jalan-jalan utama di negeri Kelantan bagi menghebohkan projek tersebut kepada rakyat Kelantan kerana penanaman pokok depu atau gaharu masih baharu dan tidak diusahakan oleh negeri-negeri lain. 

Papan iklan itu juga sebagai perang saraf terhadap Projek Koridor Pantai Timur yang dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional Pusat. 
 
Projek depu digambarkan amat menguntungkan. Harga untuk sekilogram depu gred terbaik dikatakan bernilai RM12,000-RM14,000 untuk sekilogram pada ketika itu. Harga itu dianggap amat menguntungkan.
 
Manakala harga pasaran untuk minyak gaharu dikatakan mencecah sehingga RM45,000/kg bergantung kepada kualiti kayu gaharu.
 
Mengambil kira keuntungan bakal diraih, kerajaan Pas Kelantan memperkenalkan Projek Ladang Depu dengan menggunakan sistem 'pajak dan kongsi'. Penanam depu dikatakan mampu meraih hasil yang lumayan selepas 6 tahun usia tanaman tersebut diusahakan.  
 
Sebaliknya, setelah sekian lama masa berlalu, projek depu sehingga kini diam serta sepi tanpa berita? Projek ladang depu terus jadi sedu. Pokok depu yang dianggaran sebatang pokok RM1,000 kini sepi.
 
Penanam depu yang mengharapkan keuntungan besar yang dijanjikan bulan dan bintang tidak mendapat apa-apa hasil. Usaha yang dilakukan sia-sia. Pihak mendapat untung besar ialah pembekal anak pokok depu.
 
Projek yang gagal itu dikaitkan dengan pemimpin tertentu. Namun, dengan masa yang sudah lama perkara itu lenyap begitu sahaja, melainkan ada yang sekadar membangkitkan semua untuk imbau kembali.
 
Pokok gaharu juga dikenali pokok karas atau mengkaras hidup di kawasan tanah pamah sehingga ketinggian 750 meter dari aras laut dan memerlukan taburan hujan dan kelembapan yang tinggi. Gaharu digunakan dalam industri minyak wangi, produk perubatan, perubatan Ayurvedic, majlis keagamaan dan sebagainya.

Permintaan untuk gaharu semakin tinggi walaupun pengeluaran semakin berkurangan menyebabkan harganya semakin meningkat setiap tahun. Kebanyakan gaharu dieksport kepada. pemborong-pemborong di Singapura, Timur Tengah, Hongkong dan Taiwan.

Harganya boleh mencecah sehingga RM14-18 ribu sekilogram untuk gred terbaik. Malah, harga pasaran untuk minyak gaharu juga amat tinggi iaitu RM45 ribu/kg (kaedah penggredan kualiti kayu dan minyak masih belum dipiawaian dan bergantung kepada penjual dan pembeli).
 
Asia Tenggara mengeksport gaharu bernilai RM48.3 juta ke Arab Saudi dan bekalan hanya memenuhi 20 peratus daripada permintaan pasaran.
 
Buat masa ini, kebanyakkan gaharu dikeluarkan daripada hasil hutan dan amat terhad. Tanpa penanaman semula. spesis ini akan terus diancam kepupusan disebabkan aktiviti pengambilan gaharu.
 
Penanaman gaharu di Malaysia masih baharu dan belum popular, tetapi di negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja sudah lama diusahakan. Malah ia mendapat sokongan yang amat kuat daripada pihak agensi kerajaan mereka dari segi modal dan teknologi.

Keseluruhan pokok gaharu (batang, daun dan akar) berguna dan dapat dikomesialkan.
Penanaman pokok gaharu sesuai dijalankan di tanah terbiar, kawasan rezab hutan simpan, kawasan pembalakan yang telah diterokai dan dijalankan secara pertanian hutan ladang dan diintegrasikan dengan pelbagai tanaman lain seperti herba dan tanaman komoditi.
 
Dengan teknologi terkini pokok gaharu boleh ditebang dalam jangka masa 5-6 tahun, selepas 12 bulan suntikan (inducement) ubat, pokok boleh mula ditebang untuk mendapatkan resinnya.
 
Untuk 1 ekar tanah boleh ditanam hampir 1000 pokok dengan jarak antara 6-7 kaki. Anggaran pendapatan untuk sepokok ialah RM1000.00 dan seekar ialah RM1 juta. 
 
Berasal dari perkataan Sansekerit iaitu `agaru' yang bererti kayu berat (tenggelam) - menghasilkan produk damar atau resin dengan aroma harum apabila dibakar.
 
Analisis kimia mendapati gaharu mengandungi agarospiral, jinkohol-eremol yang menghasilkan aroma gaharu untuk kegunaan minyak wangi. Komponen methoxyphenylethyl chromone pula menghasilkan bauan yang harum apabila gaharu dibakar. 
 
Gaharu digunakan untuk keagamaan Cina, Unanai, Ayuravedik dan Tibet. Di Timur Tengah gaharu dibakar untuk mengharumkan rumah. Daun, akar dan kulit gaharu digunakan sebagai ubat antimalaria sementara air sulingan penghasilan gaharu dimasukkan perubatan selepas bersalin, antibiotik, antikanser, penyakit kewanitaan, demam, sakit badan dan sakit perut.
 
Pokok karas ini merupakan spesis pokok hutan yang tumbuh secara meliar di dalam hutan dan juga kebun-kebun getah orang kampung yang mana habitatnya adalah mudah dan tidak rumit untuk hidup di mana-mana kawasan selain dari kawasan tanah yang berair.
 
Teras gaharu terhasil adalah disebabkan pokok yang sakit, apabila pokok ini sakit maka pokok ini akan mengeluarkan satu cecair yang dikenali damar atau risen (boleh dikatakan juga sebagai antibodi) untuk merawat kembali kecederaannya, damar dan risen inilah yang akan menyebabkan berlakunya pembentukkan teras gaharu.

No comments:

Post a Comment