Pada 20 Jan 1963, kerajaan Indonesia menerbitkan deklarasi
Konfrontasi yang mengutuk pembentukan Malaysia. Konfrontasi bermaksud
pertentangan secara langsung tanpa mengisytiharkan perang. Konfrontasi itu
dikenali kempen "Ganyang Malaysia".
Perkataan "ganyang" adalah perkataan Jawa yang
bermaksud "menghancurkan" atau "menggagalkan".
Presiden Indonesia, Sukarno, membantah keras pembentukan
negara baru ini. Beliau melihat Malaysia sebagai boneka ciptaan penjajah
British bagi mengepung Indonesia dari utara.
Biarpun tidak mengisytiharkan perang, tindakan penyusupan
tentera Indonesia dilakukan terhadap kawasan Malaysia. Pertempuran melibatkan
anggota tentera berlaku di kawasan tertentu.
Ketika itu penempatan tentera British masih ada ada di
beberapa pangkalan tentera dan banyak kepentingan negara bekas penjajah itu
beroperasi di Tanah Melayu. Malah, ketika itu pembentukan Malaysia belum
dibuat, bermakna British masih menguasai Singapura, Sabah dan Sarawak.
Di tengah krisis ini, Tunku Abdul Rahman menjadi figura
utama yang secara tidak langsung menyelamatkan rantau ini daripada musnah.
Biarpun mendapat penentangan daripada Indonesia, usaha penubuhan Malaysia
diteruskan sehingga terbentuk sebuah negara baharu yang diberi nama Malaysia
dengan bergabungnya Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Namun di sebalik sikap tenang Tunku Abdul Rahman, British sudah
mula membuat persiapan aset ketenteraan lebih awal untuk menghadapi sebarang
kemungkinan perang besar akan meletus. Persiapan itu perlu dilakukan secara
teliti kerana pada masa itu pengaruh komunis masih kuat di Malaysia dan juga
Indonesia.
Pada 17 Ogos 1962, Perdana Menteri Britain Harold Macmillan
secara rasmi meluluskan penempatan bom nuklear Red Beard di Pangkalan RAF
Tengah di Singapura. Bom tersebut memiliki kuasa letupan antara 15 hingga 25
kiloton, cukup untuk melenyapkan sebuah bandar besar seperti Jakarta atau
Surabaya.
Sebanyak 48 butir bom disimpan di fasiliti khas lengkap
dengan pesawat pengebom Vulcan.
Penempatan ini dilakukan secara senyap, tanpa dimaklumkan kepada
kerajaan Malaya. British khuatir Tunku Abdul Rahman, yang terkenal dengan
pendekatan sederhana dan rasional, akan menentang keras tindakan tersebut.
Kenyataan Tunku dalam satu perbincangan tidak rasmi menyebut
“Kita tidak boleh terlibat dalam konflik yang hanya akan merosakkan rantau ini”,
mencerminkan pendiriannya yang jelas tentang usaha mengelak perang yang akan
menghancurkan pihak yang terlibat. Beliau memilih diplomasi walaupun Malaysia
ditekan dari pelbagai sudut.
Dalam diam, British turut mengatur latihan tentera
besar-besaran seperti Operation Mastodon dan Operation Starlight pada tahun
1964 dan 1965. Pesawat pengebom nuklear jenis Vulcan ditempatkan di Asia
Tenggara, bersiap sedia menyerang Indonesia jika konflik menjadi perang
terbuka. Sasarannya adalah Jakarta dan Jawa Barat.
Menurut sejarawan Richard Moore, “Senjata nuklear di Singapura
adalah nyata dan beroperasi. Ia hanya menunggu keputusan politik untuk
digunakan.”
Namun semua itu tidak terjadi apabila kepimpinan Indonesia
bertukar tangan. Sukarno digulingkan oleh Jeneral Suharto. Suharto mengambil
alih kuasa dan melancarkan operasi besar-besaran menentang komunis. Dalam masa
singkat, lebih sejuta nyawa melayang.
Dengan kejatuhan Sukarno, dasar agresif terhadap Malaysia
dihentikan. Suharto tidak berminat meneruskan polisi Sukarno, dan memulakan
rundingan damai pada Mei 1966 yang berakhir dengan perjanjian pada 11 Ogos
1966.
Konfrontasi berlangsung dari 20 Jan 1963 hingga 11 Ogos 1966.
Sepanjang konfrontasi ini (1962-1966) seramai 114 askar dari negara Komanwel,
36 orang awam Sarawak dan lebih daripada 590 orang askar Indonesia terbunuh.
Selepas tamat konfrontasi dan pengaruh komunis semakin lemah,
senjata nuklear secara berperingkat dihantar pulang ke Britain tanpa sebarang
pengumuman rasmi. Menjelang 1970, kesemua 48 butir bom Red Beard dibawa balik.
Sejarah ini tidak tercatat dalam buku teks, tetapi ia adalah
satu peringatan: betapa pentingnya kepimpinan yang bijaksana, dan betapa
bahayanya bila senjata pemusnah disimpan dalam senyap, tanpa keizinan negara tuan
rumah.
Kredit sumber - pelbagai
No comments:
Post a Comment