Sunday 23 August 2020

BERUBAH MENCARI KEHIDUPAN LEBIH BAIK

Banyak pengajaran yang boleh diambil oleh umat Islam apabila membicarakan peristiwa hijrah. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyatakan perihal kemenangan dan ganjaran daripada tindakan sahabat bersama Rasulullah yang berhijrah ke Madinah.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."  (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Selain menjadi golongan yang mengharapkan rahmat Allah, orang yang berhijrah juga mendapat keampunan dan kasih sayang daripada-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."   (Surah an-Nahl, ayat 110)

Golongan yang melakukan hijrah semata-mata kerana Allah juga akan mendapat ganjaran istimewa bukan sahaja di akhirat malah ketika di dunia lagi.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui."  (Surah an-Nahl, ayat 41)

Keistimewaan golongan Muhajirin yang berhijrah atas perintah Allah dan Rasulullah dinyatakan dalam al-Quran. Mereka adalah kelompok awal umat Islam yang berusaha menjadikan diri mereka lebih baik daripada keadaan sebelumnya dengan menyahut seruan daripada Allah.

Mereka meninggalkan kehidupan di tanah air sendiri demi untuk memastikan kelangsungan dakwah Islam berkembang lebih maju. Itulah pengorbanan golongan Muhajirin yang perlu diambil iktibar oleh seluruh umat Islam.

Antara iktibar yang boleh dipelajari ialah semangat juang yang tinggi dan tidak berputus asa untuk memastikan Islam menjadi agama yang diterima oleh manusia.

Oleh itu, hijrah sering dikaitkan dengan jihad kerana golongan Muhajirin yang berhijrah adalah kelompok manusia yang optimis dengan kejayaan yang bakal dikecapi hasil daripada usaha mereka bersama Rasulullah SAW.

Sesiapa yang melakukan kebaikan kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, maka perbuatan tersebut diiktiraf sepertimana yang diniatkan.

Sabda Rasulullah bermaksud:  "Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya."  (Muttafaq alaih). Perkara inilah yang perlu menjadi ingatan setiap Muslim tatkala melakukan ibadah. Buatlah kebaikan hanya kepada Allah dan bukan untuk makhluk-Nya.

Selain itu, iktibar hijrah juga perlu disemat dalam diri apabila ia menuntut umat Islam meninggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah. Perkara inilah yang menyerlahkan keperluan agar sunah hijrah masih kekal relevan untuk diaplikasi dalam kehidupan.

Tidak ada seorang pun yang terselamat daripada sebarang bentuk dosa. Maka perbuatan meninggalkan perkara buruk dan memperbanyakkan amalan baik adalah satu usaha hijrah yang praktikal dalam diri.

Sabda Rasulullah bermaksud:  "Seorang Muslim ialah orang yang kaum Muslimin lainnya selamat daripada gangguan lisan dan tangannya. Dan seorang Muhajir (orang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah."  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Orang Islam perlu berusaha melakukan jihad dalam diri sendiri agar tidak tergelincir melakukan perbuatan dosa. Hal ini termasuk urusan jihad dan ia tidak akan dapat dicapai sekiranya tidak ada niat yang baik.

Peringatan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya bermaksud:  "Tidak ada hijrah setelah pembukaan kota Mekah, akan tetapi (yang terus ada ialah) jihad dan niat."  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslaim)

 

No comments:

Post a Comment