Tuesday, 9 August 2022

KOTA JEMBAL PUSAT PEMERINTAHAN KELANTAN

 
Kerajaan Jembal diasaskan oleh Raja Besar pada awal abad ke-17. Baginda dikatakan berasal dari negeri Kedah yang melarikan diri ke Kelantan disebabkan krisis keluarga.

Raja Besar dan pengikut-pengikut baginda mencari satu tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Angkatan baginda telah menemui satu kawasan tanah yang subur yang terletak di tepi Sungai Babong dan Pulau Melaka.  

Di situ baginda mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya mendirikan sebuah kota. Di dalam kawasan itu terdapat sebatang pokok yang sangat besar iaitu pokok jambu jembal, lalu baginda menamakan tempat itu Jembal.

Baginda Raja Besar tiba di Jembal bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. 

Kedua-duanya dipercayai cucu baginda. Yang lelaki bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri Mani Kemeyan.

Setelah kedua-duanya meningkat dewasa lalu mereka dikahwinkan. Pada tahun 1638 M Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya.

Tidak lama selepas pertabalan Raja Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan Jembal itu. 

Raja Sakti dikurniakan tujuh orang putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri Cempaka Bongsu.

Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.

Pada masa pemerintahan Raja Loyor, terdapat satu lagi kerajaan yang berpusat di Hulu Kelanan yang diperintah Cik Siti Wan Kembang.

Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.

Nama Jembal dikatakan terus kekal sehingga sehingga tahun 1922 sahaja. Nama tempat itu telah berubah kepada nama Kedai Lalat dengan secara tidak dirancang.

Keturunan Jembal tersebar di seluruh negeri Kelantan dan kawasan lain di seluruh negara. Mereka memakai berbagai gelaran iaitu Raja, Tengku, Ku, Tuan, Engku dan Nik.

Pada tahun 1991, keturunan Jembal telah menubuhkan Pertubuhan Kerabat Diraja Jembal Kelantan (PKDJK) untuk menyatukan semula keturunan Raja Jembal.

PKDJK telah membuat permohonan kepada kerajaan Kelantan untuk menukar nama Kedai Lalat kepada Kota Jembal dan ia telah diluluskan.

Kota Jembal terletak kira-kira enam kilometer ke timur pusat bandar Kota Bharu, Kelantan. Kota Jembal merupakan ibu daerah (mukim) bagi Daerah Sering di bawah Jajahan Kota Bharu dan di sinilah terletaknya Pejabat Penggawa Daerah Sering di Jalan Raja Sakti.

Kota Jembal merupakan sebuah pusat pertumbuhan baharu di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Antara kemudahan lain yang terdapat di pekan kecil ini ialah tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, Sekolah Kebangsaan Kota Jembal dan Sekolah Kebangsaan Raja Bahar.

Kota Jembal cukup terkenal dengan pasar minggu yang diadakan pada setiap pagi Jumaat. Pada asalnya, pasar tersebut hanya beroperasi di bangunan atau gerai kayu serta tempat terbuka.

Namun, kini satu ‘kota’ telah dibina sebagai kawasan pasar yang dikenali Pasar Kota Jembal. Ia memberi keselesaan kepada peniaga dan pembeli di kawasan lebih luas dan selesa.

Raja Sakti pengasah kerajaan Jembal

No comments:

Post a Comment