Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan (PCAK)
mempelbagaikan aktiviti untuk membantu golongan asnaf. Biarpun PCAK lebih memberi
tumpuan kepada menerima sumbangan orang ramai dan kemudian diagihkan kepada
asnaf, kini bantuan turut meliputi menjana ekonomi di kalangan asnaf.
Pengerusinya, Fazliyaton Daud menjelaskan,
PCAK akan berkerjasama dengan pengusaha tikar kercut untuk memasarkan produk
tersebut.
Tikar kercut adalah produk kraf tangan yang
semakin dilupakan dan kurang mendapat permintaan, sedangkan masih ada keluarga
yang mengharapkan atau menjadikan tikar kercut sebagai sumber pendapatan.
Kercut adalah sejenis tumbuhan (rumput)
yang daunnya dibuat tikar dan lain-lain. Kercut juga dipanggil mansiang agam, mansiro
hitam, kambuih, rumput kerecut dan rumput kumbar. Kercut atau nama saintifik Scirpus
mucronatus telah melatari budaya Melayu apabila ia menjadi sebahagian sumber
semula jadi yang digunakan dalam kehidupan seharian.
Di Kampung Kubang Keladi, Jelawat, Bachok
masih ada empat keluarga yang menjadikan kerja mengayam tikar kercut sebagai
sumber pendapatan. Mereka mampu menghasilkan sejumlah tikar kercut yang hasil jualannya boleh dijadikan sumber pendapatan untuk menampung keluarga, namun bilangan pembeli
agak terhad kerana banyak orang tidak mengetahui mengenainya.
Justeru, menurut Fazliyaton, PCAK akan
membantu pengusaha tikar kercut agar ia dapat dipasarkan secara lebih meluas,
termasuk keluar negeri Kelantan agar lebih banyak yang terjual, sekaligus menambah
pendapatan pengusaha dan mampu dijadikan pendapatan tetap.
Fazliyaton percaya permintaan terhadap
tikar kercut masih ada jika ia dipasarkan melalui saluran yang betul terutama
di kedai kraf tangan atau kedai berkonsep barangan tradisional.
Menurut Fazliyaton, dia sendiri sebelum ini
pernah memasarkan tikar kercut di beberapa negeri, termasuk Johor dan pernah
memasuki pasaran Singapura.
Katanya lagi, jika kena pada strategi
pemasaran, tikar kercut boleh dipasarkan di peringkat global secara dalam
talian kerana masyarakat di luar negara berminat dengan hasil kraf tangan yang
menggunakan sumber semula jadi seperti tikar kercut.
PCAK merupakan NGO kebajikan yang berusaha
membantu golongan asnaf. PCAK memerlukan lebih banyak sumbangan daripada orang
ramai agar lebih banyak lagi asnaf dapat dibantu.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi
Pengerusi Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan, Fazliyaton Daud di talian
011-1941-3639.
Pihak yang ingin menyumbang boleh dilakukan
melalui akaun bank: 100-5055-000000-084 (MBSB).
Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan adalah
pertubuhan berdaftar. Nombor pertubuhan: PPM-006-03-30032021
Catatan: Kercut tidak sama dengan mengkuang.
No comments:
Post a Comment